Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini menyenaraikan Malaysia antara 4 pasukan yang mencatat kenaikan mendadak dalam kedudukan ranking FIFA untuk bulan Jun 2022.

Lonjakan sebanyak 7 anak tangga kepada 147 dunia itu berpunca daripada kejayaan skuad kendalian Kim Pan-gon mencatat 2 kemenangan ke atas Turkmenistan (3-1) dan Bangladesh (4-1) ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 minggu lalu selain dibantu dengan kemenangan dalam perlawanan persahabatan menentang Brunei (4-0) serta Hong Kong (2-0).

Selain Malaysia, 3 lagi negara yang mendapat gelaran ‘The Biggest Climbers’ ialah Greece, Cuba dan Kazakhstan. Perkembangan tersebut turut diumumkan oleh FIFA melalui laman sosial rasmi mereka.

Jika skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan dalam aksi persahabatan antarabangsa selepas ini, tidak mustahil mereka akan berada dalam kelompok ranking 130 dunia sekaligus mengatasi kedudukan rival dari ASEAN iaitu Filipina (134 dunia).

Bagi mempersiapkan pasukan menjelang temasya Piala Asia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengaturkan perlawanan persahabatan menentang pasukan di ranking lebih tinggi supaya anak buah Kim Pan-gon cukup bersedia dari segi mental serta fizikal.

Masih menjadi teka-teki pasukan mana yang bakal menjadi lawan Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa bulan September nanti. Jika melihat kepada situasi semasa, pasukan dari Timur Tengah dan Asia Barat sering menjadi pilihan FAM.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Pestabola Merdeka Mungkin Akan Kembali

Menteri Anggap Sorakan Penyokong Punca Pemain Harimau Malaya Hilang Fokus

Kim Pan-gon Ucap Terima Kasih Kepada TMJ Kerana Menyalur 15 Pemain JDT Untuk Harimau Malaya

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama