Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jelas tidak mahu terburu-buru dalam mencari pengganti Brad Maloney bagi mengisi jawatan Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 (B-23) Tahun negara.

Sebaliknya, badan induk bola sepak tanah air itu mahu memberikan tumpuan khusus dalam mendengar pendapat daripada Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon terlebih dahulu. berhubung soal tersebut.

Perkara itu sudah pasti menjadi matlamat utama buat FAM kerana melihatkan kepada kesinambungan yang perlu wujud melibatkan pasukan B-23 agar dapat selaras dengan skuad senior.

Keadaan itu disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi sebentar tadi.

“Jawatankuasa Teknikal dan Pengarah Teknikal [ Scott O’Donell] juga akan memberikan pandangan dia tentang perlantikan ini. Tentu sekali pemilihan ketua jurulatih B-23 akan melibatkan ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon.”

Brad Maloney ketika membimbing skuad B-23 negara. Kredit Foto: FAM

“Seperti sedia maklum bahawa kita mahukan pasukan B-23 ini selari dengan skuad kebangsaan. Jadi, jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pasukan kebangsaan memang dalam peringkat perbincangan setakat ini.”

“Tetapi ‘coach’ Kim Pan-gon masih belum balik, jadi kita tunggu Kim Pan-gon balik, diberitahu dalam sehari dua mungkin dia akan sampai ke sini semula.”

“Mungkin akan ada perbincangan yang intensif bersama Kim Pan-gon selepas ini bagi menentukan hala tuju siapa yang patut menjadi ketua jurulatih supaya selari dengan pasukan kebangsaan.”

“Kita tahu bahawa persiapan pasukan kebangsaan akan turut melibatkan pemain B-23 ini, jadi kita mesti melibatkan jurulatih skuad kebangsaan bagi sama-sama dalam menentukan siapa yang sesuai untuk menggantikan Brad Maloney.”

“Waktunya [pengumuman rasmi] saya tak dapat nak bagitahu sampai bila tetapi diharapkan seberapa cepat yang boleh. Kita pun tak mahu terlalu cepat sebab takut tersalah buat keputusan pula nanti. Jadi keputusan itu mahu seberapa cepat dan tepat,” tambah Yusoff lagi.

Seperti diketahui, jodoh Brad Maloney dan skuad B-23 negara berakhir pada 13 Julai lalu apabila kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk berpisah ekoran prestasi kurang memuaskan dalam kempen Sukan SEA dan Kejuaraan AFC B-23 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Harimau Malaya Bakal Hadapi Kejohanan 4 Penjuru Di Thailand Pada September

Liga Super: Peminat Tidak Setuju Dengan Peraturan 9 Pemain Import

Barca Sedia Sailang Chelsea Beli Kounde Selepas Dapat Suntikan Dana Kedua