Susulan misi penting yang bakal dihadapi skuad kebangsaan pada bulan Jun nanti bagi menghadapi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi ‘meminta jasa baik’ Malaysian Football League (MFL) untuk meminda jadual perlawanan Liga Super pada Mei nanti.

Permintaan tersebut adalah bertujuan bagi membolehkan para pemain Harimau Malaya diberikan tempoh masa yang lebih panjang untuk membuat persiapan, di samping menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan.

Memetik sumber Berita Harian (BH) Online, Mohd Yusoff mengesahkan bahawa pihaknya sudah membuat permohonan kepada pihak MFL supaya membuat pindaan bagi jadual perlawanan pada akhir bulan Mei.

“Permintaan ini datang daripada pemain sendiri untuk mendapat lebih masa buat mereka menjalani latihan dan perlawanan persahabatan. Kita cuba untuk tunaikan permintaan itu dan adakan perbincangan dengan MFL.”

“Kita sudah lanjutkan permohonan ini dan kalau satu perlawanan selepas Aidilfitri itu boleh ditangguhkan, sudah pasti ini akan memberi lebih masa kepada skuad kebangsaan melakukan persiapan,” ujar Mohd Yusoff bercakap kepada BH Online.

“Kita pun boleh terus memanggil pemain untuk kem latihan pusat. Justeru, saya mengharapkan MFL dapat mempertimbangkan permintaan kita ini secara teliti.”

Dalam perkembangan sama, beberapa perlawanan persahabatan juga dijangka akan diadakan dimana Jordan, Australia dan Bahrain dikatakan berminat untuk menguji skuad negara.

“Memang ada perancangan untuk melangsungkan aksi persahabatan sebelum kita hadapi perlawanan sebenar. Tiga negara itu berminat untuk bermain dengan kita tetapi kita akan bincang dengan lebih lanjut bersama jawatankuasa pasukan kebangsaan.”

“Akan ada kekangan masa tetapi saya berharap kita dapat melangsungkan sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan,” tambah Yusoff lagi.

Skuad negara yang kini menghuni tangga kedua kumpulan G selepas mencatatkan tiga kemenangan dan dua kekalahan akan menghadapi Emiriah Arab Bersatu pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand berselang empat hari kemudian.

Sumber