Pemain bek tengah antarabangsa England, Harry Maguire menyatakan bahawa dia sangat teruja untuk “permulaan baru” di bawah pengurus baharu Erik ten Hag

Harry Maguire berikrar untuk mengembalikan semula kariernya di Manchester United ke landasan yang betul selepas mengalami “kemerosotan” dalam kempen 2021/22.

Pemain pertahanan itu dikritik hebat kerana persembahannya yang tidak menentu ketika Red Devils jatuh ke tangga keenam dalam Liga Perdana Inggeris. Dengan mencatat pungutan mata terburuk dalam sejarah mereka di era Liga Perdana Inggeris.

Maguire mengakui dia gagal memenuhi standard yang diperlukan semasa musim yang “mengecewakan”, tetapi bersedia untuk “berjuang” untuk membuktikan bahawa pihak yang meragui kemampuannya adalah salah.

Dia berkata, dia sudah tak sabar untuk membantu United mencabar trofi sekali lagi pada era Ten Hag.

Maguire berkata: “Tahun lepas pastinya satu kemerosotan untuk diri saya dalam garis kerjaya saya, tetapi ia sudah berada di belakang kami sekarang.”

“Kami menuju ke masa depan dan akan membawa kelab ini kembali memenangi trofi, itulah hakikatnya.”

“Tahun lepas mengecewakan, sebagai individu saya tidak bermain dengan baik dan sebagai sebuah pasukan kami pastinya tidak bermain dengan baik.”

“Tetapi kerjaya yang baik boleh bertahan 10 hingga 15 tahun dan anda tidak akan pernah bermain setiap tahun di tempat yang sama tanpa menghadapi sebarang kesulitan. Anda perlu berjuang, anda akan mengalami kemerosotan dalam karier.”

United telah memenangi dua perlawanan pramusim pertama mereka di bawah ketua jurulatih baharu Erik ten Hag, dengan kemenangan hebat 4-0 ke atas saingan Liga Perdana, Liverpool disusuli dengan kemenangan 4-1 ke atas Melbourne Victory.

Maguire berkata Ten Hag sudah pun menyampaikan falsafah uniknya kepada pemain, dengan membina semangat skuad dengan cepat menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris pertama mereka pada 2022/23 menentang Brighton pada 7 Ogos.

“Sudah sangat sukar. Larian itu [yang dimahukan Ten Hag] sukar tetapi kami sangat tak sabar untuk memulakan musim ini,” tambah pemain berusia 29 tahun itu lagi.

“Semua orang – pemain, kelab – tahu tahun lepas tidak cukup baik tetapi ini adalah permulaan yang baru dan kami mempunyai musim yang besar di hadapan.”

“Erik dan kakitangan kejurulatihannya membawa idea mereka dan dua perlawanan pertama anda telah melihat sedikit gambaran tentang prinsipnya.”

“Kami sedang berusaha untuk bersiap sedia untuk perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris tersebut, itulah yang penting. Semua yang kami lakukan sekarang adalah sedang membina pasukan untuk perlawanan pertama itu.”