Kapten Manchester United, Harry Maguire telah menganggap bahawa Liverpool adalah perlawanan pertama yang dicarinya apabila jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris dikeluarkan.

Maguire akan mengetuai Manchester United menentang Liverpool di Bangkok pada hari ini ketika kedua-dua pasukan bermain perlawanan persahabatan pertama mereka dalam jadual pramusim.

Dan bercakap kepada manutd.com, pemain pertahanan itu berkata dia sentiasa menantikan perlawanan itu.

“Sudah tentu, perlawanan pertama yang anda cari dalam Liga Perdana Inggeris adalah menentang Liverpool, kemudian barulah diikuti oleh Manchester City,” katanya.

Maguire faham bahawa ini cumalah aksi pemanas badan untuk mengembalikan semula tahap kecergasan mereka. Namun pada masa yang sama, beliau juga mengerti bagaimana perlawanan antara Liverpool dan Manchester United sentiasa berkaitan dengan perseteruan terbesar dalam bola sepak Inggeris.

Kemudian, Maguire juga merasakan ini adalah perlawanan penting kerana ianya perlawanan pertama mereka di bawah Erik Ten Hag.

Dan memberikan jaminan bahawa, Manchester United akan tampil dengan permainan yang berbeza pada hari ini.

“Jadi ia adalah perlawanan besar, ia adalah perseteruan terbesar. Kami tahu apa ertinya kepada peminat. Kami tahu ia juga perlawanan persahabatan dan ia adalah perlawanan pertama kami.”

“Saya pasti akan ada banyak perubahan dalam permainan, kerana kami sedang berusaha untuk kecergasan kami, tetapi kami mahu memenangi perlawanan bola sepak.”

Sehari sebelum sepak mula, Maguire disahkan kekal sebagai kapten Manchester United untuk musim baharu. Sekaligus menepis spekulasi tentang kedudukannya dalam jawatan tersebut.

Menurut Ten Hag, dia sebelum ini mengambil masa untuk mengenali semua pemain. Dan selepas dia mengenali Harry Maguire dengan lebih dekat, dia merasakan pemain itu memang layak menjadi kapten.

Jangan lupa saksikan Harry Maguire mengetuai rakan rakannya menentang Liverpool yang akan disiarkan secara langsung oleh TV9 pada 12 Julai 2022 ini.