Harry Maguire dan keluarganya melalui detik cemas apabila dia menerima ancaman bom yang mahu meletupkan dia dan keluarganya.

Jurucakap pertahanan Manchester United itu mengesahkan bahawa pemain itu menerima ancaman bom yang serius yang mengancam untuk meletupkan rumah keluarganya.

Polis Chesire kemudian turut mengesahkan mereka menerima laporan tersebut berkenaan dengan ancaman bom di kediaman yang terletak di Wilmslow.

Jurucakap Harry Maguire memberitahu Sky Sports: “Dalam masa 24 jam lalu, Harry menerima ancaman bom yang serius ditujukan kepada rumah keluarganya.”

“Dia sudah melaporkan perkara ini kepada pihak polis yang kini menyiasat perkara ini. Keselamatan keluarga dan orang di sekitar kediaman adalah keutamaan Harry pada masa ini.”

Jurucakap tersebut juga mengesahkan bahawa Harry Maguire akan terus fokus kepada latihan persediaan untuk menghadapi perlawanan hujung minggu ini.

Maguire tidak akan memberikan komen lanjut tentang perkara tersebut.

“Dia masih akan meneruskan persediaan untuk perlawanan hujung minggu ini seperti biasa. Dan tidak akan memberikan komen lebih lanjut buat masa ini.”

Polis Chesire turut mengesahkan bahawa polis dengan anjing pengesan bahan letupan digegaskan ke rumah Harry Maguire sebagai langkah berjaha jaga. Mereka menyatakan bahawa tiada proses evakuasi dibuat.

Sebagai tambahan, Harry Maguire tinggal di kediaman mewah tersebut bersama tunangnya dan juga dua orang anak mereka.

Harry Maguire terus menjadi subjek kritikan peminat Manchester United selepas prestasi tidak menentu pemain itu.

Namun ianya bukan alasan untuk membuat ancaman bom yang turut membawa kepada ancaman bunuh kepada Maguire.