Pengurus skuad Thailand, Nualphan Lamsam atau dikenali sebagai Madame Pang sedia memberikan imbuhan lumayan kepada semua pemainnya jika mereka menewaskan Malaysia untuk melangkah ke final Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Menurut laporan daripada Bangkok Post, beliau sudah pun memberikan bonus sebanyak 5 juta baht (RM652,819) kepada pasukan Thailand atas kejayaan mara ke peringkat separuh akhir dan berjanji akan menambah 5 juta baht lagi jika mereka berjaya ke final.

Skuad kendalian Mano Polking itu memerlukan dua gol untuk mengesahkan tiket ke final selepas tewas 0-1 kepada Harimau Malaya pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada hari sabtu lepas.

“Saya menjanjikan kepada pemain 5 juta bath jika mereka mampu melangkah ke final,” kata Madam Pang.

“Kami memiliki penguasaan bola lebih 70 peratus dan telah melakukan 24 percubaan berbahaya ke gawang gol Malaysia. Saya rasa masih ada peluang untuk mara ke final,” tambahnya.

Sementara itu, ketua pasukan, Theerathon Bumanthan menegaskan mereka sudah bersedia untuk menjaringkan lebih banyak gol bagi memadam defisit 1 gol yang dimiliki oleh Harimau Malaya.

“Kami telah mencuba untuk menjaringkan gol [ketika separuh akhir pertama], tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Malaysia tidak akan bernasib baik kali ini. Saya rasa separuh akhir kedua ini ialah hari yang sebenar untuk kami menjaringkan gol,” ujar Theerathon.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan tindakan sekumpulan penyokong Malaysia membaling botol ke arahnya ketika di Stadium Nasional Bukit Jalil dan berharap penyokong Thailand dapat memenuhi Stadium Thammasat untuk memberi tekanan kepada lawan.

“Saya mahu semua penyokong turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu. Lihat apa yang mereka [penyokong Malaysia] buat kepada kami di Bukit Jalil. Saya mahu semua penyokong memberikan tekanan kepada pasukan lawan,” tegasnya ketika sidang media semalam.