Macedonia Utara hanya mempunyai  90 minit untuk memenuhi impian beraksi di Piala Dunia 2022 di Qatar apabila mereka dijadualkan bertemu Portugal pada perlawanan terakhir playoff awal pagi Rabu ini waktu Malaysia.

Negara dari Balkan itu mengejutkan Itali di Palermo, Khamis lalu apabila menang 1-0 hasil jaringan Aleksandar Trajkovski pada tambahan masa, sekaligus mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia.

Pemain tengah Macedonia, Elif Elmas berkata keyakinan mereka kini meningkat selepas menyingkirkan juara euro itu dan tidak sabar untuk turun ke padang memenuhi impian sejak kanak-kanak.

“Jujurnya, ini perlawanan yang paling sukar dan paling dinanti-nantikan oleh kami semua. Kami cuma ada 90 minit untuk memenuhi impian sejak zaman kanak-kanak, bukan saja kami tetapi seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

“Kami tidak mahu melepaskan peluang terbaik ini dan harus melakukan yang terbaik demi menempah tiket ke Qatar,” tambahnya.

Skuad Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo tidak akan memandang rendah pada cabaran Macedonia dan sedia menunjukkan kualiti permainan sebenar.

“Pada ketika ini bola sepak sudah berbeza. Sesiapa sahaja boleh menewaskan sesiapa. Nama, nombor dan statistik tidak memberi makna,” kata pemain tengah veteran Portugal, Joao Moutinho ketika ditanya mengenai pertembungan dengan negara hanya dua juta penduduk dan berkedudukan ke-67 dunia itu.

“Kami perlu menunjukkan di padang bahawa kami ada lebih kualiti dan ada gaya permainan tersendiri.” ujarnya.

Portugal terselamat apabila menewaskan Turki 3-1 pada separuh akhir apabila mensia-siakan dua gol awal. Namun Burak Yilmaz gagal menyempurnakan penalti lewat sebelum Matheus Nunes melengkapkan kemenangan tuan rumah.

Skuad kendalian Fernando Santos melepaskan peluang bergelar juara kumpulan kelayakan dengan melepaskan gol pada lewat perlawanan sebelum tewas 2-1 di laman sendiri kepada Serbia pada November lalu.

Bagi Portugal, gagal layak ke Piala Dunia akan mencetuskan ‘skandal’ besar melihat kepada kualiti dimiliki barisan pemain mereka dengan pemain Atletico Madrid, Joao Felix sebagai contoh, hanya diletakkan sebagai simpanan ketika menentang Turki.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak eropah melalui pautan dibawah.

Donnarumma Janji Itali Akan Bangkit Dan Kembali Ke Tempat Selayaknya

Di Maria Umum Persaraan, Messi Pertimbang Untuk Ikut

Sekatan Dilonggarkan, Penyokong Chelsea Mulai Beli Tiket UCL