Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam telah mengumumkan senarai nama 26 pemain yang dipanggil sertai kem latihan pusat skuad bawah 23 tahun (B-23) kendalian E. Elavarasan.

Kem latihan pusat itu diadakan selama seminggu bermula 12 hingga 19 Jun 2023 sebagai persiapan menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Chonburi, Thailand bermula 16 hingga 26 Ogos 2023.

Daripada senarai itu, Elavarasan telah mengekalkan 15 pemain yang menyertai pasukan Sukan SEA 2023 di Kemboja dan memanggil beberapa muka baharu antaranya Muhammad Abu Khalil, Muhammad Aiman Farhan Muhammad Fauzi dan Muhammad Hariz Mansor.

Turut dipanggil ialah pemain yang berpengkalan dari luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin. Penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim yang terlepas Sukan SEA 2023 akibat kecederaan jari kembali menyertai kem latihan tersebut.

Pasukan junior negara yang diundi Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023, bakal bertemu Indonesia B-23 pada 18 Ogos 2023 dan menentang Timor-Leste pada 22 Ogos 2023 di Chonburi, Thailand.

Juara kumpulan (3 pasukan) dan naib juara kumpulan terbaik (1 pasukan) layak ke pusingan separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023.

Selain Piala AFF B-23, mereka juga mempunyai satu lagi tugasan penting pada bulan September iaitu Kelayakan Piala Asia B-23.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa lagi pemain muda yang berpengkalan di luar negara bagi memperkuatkan pasukan Malaysia bawah 22 tahun (B-22).

Justeru itu, dua pemain dari kelab eropah iaitu Nooa Laine (SJK Akatemia) dan Richard Chin (Charlton Athletic) dijangka sertai skuad Malaysia B-22 dalam kem latihan pusat yang akan datang.

Malaysia perlu layak ke Piala Asia B-23 tahun depan kerana ia menawarkan tiket ke sukan Olimpik di Paris 2024.