Penyerang skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin terpaksa menunda penerbangan beliau ke Belgium ekoran penularan wabak Coronavirus (Covid-19) yang sedang berlaku ketika ini.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon dimana beliau menegaskan Luqman ketika ini sedang menjalani proses pemulihan daripada kecederaan yang dialami.

“Luqman Hakim masih di kampung halaman kerana pada asalnya, penerbangannya dijadualkan hari ini (semalam). Jadi, kerana Coronavirus, dinasihatkan dia tidak ke sana. Buat masa ini, dia akan laporkan diri dalam masa terdekat dan menjalani proses pemulihan akibat kecederaan,” kata Johan menurut laporan Stadium Astro.

Penularan wabak Covid-19 sememangnya memberi kesan terhadap saingan liga bola sepak di beberapa negara. Saingan J. League dan K-League terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana kedua-dua negara itu mengalami kes jangkitan yang serius.

Luqman Hakim sebelum ini berlatih dengan skuad kendalian Michael Feichtenbeiner iaitu Selangor II bagi mengekalkan kecergasan sebelum berangkat ke Belgium dimana beliau bakal beraksi bersama KV Kortrijk.

Baca artikel lain mengenai Luqman Hakim Shamsuddin di sini:

Luqman Hakim Akan Terus Berlatih Bersama Pasukan Selangor

AMD Mahu Lahirkan Barisan Pemain Setaraf Luqman Hakim

Luqman Hakim Beri Respon Mengenai Tanggapan Jelmaan Supermokh