Penyerang skuad B-23 tahun negara, Luqman Hakim dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius selepas beliau dikeluarkan pada separuh masa kedua pada perlawanan peringkat kumpulan C saingan AFC B-23 tahun menentang Korea Selatan semalam.

Perkara ini dikongsikan oleh salah seorang pegawai pasukan dimana kecederaan yang dialami oleh Luqman tidak terlalu serius dan beliau boleh diturunkan pada perlawanan seterusnya menentang Thailand pada 5 Jun ini.

“Dia (Luqman Hakim) tidak mengalami kecederaan yang serius. Sama juga halnya dengan pemain lain,” kata sumber tersebut bercakap kepada Vocket FC.

Pada aksi pembukaan kumpulan C menentang Korea, Luqman dikeluarkan pada minit ke-73 setelah beliau menerima terjahan keras daripada pemain lawan. Penyerang KV Kortrijk itu menerima rawatan di tepi padang sebelum ketua jurulatih, Brad Maloney mengeluarkan beliau.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Korea nyata terlalu hebat untuk disaingi pasukan negara dimana Malaysia tewas dengan keputusan 4-1. Aspek kawalan bola serta kurang ketepatan hantaran kepada rakan sepasukan kerap kali menjadi masalah buat para pemain skuad negara berikutan tekanan hebat diberikan Korea.

Penguasaan yang ditampilkan membuahkan hasil pada minit ke-31 apabila ketua pasukan, Lee Sang-min mudah menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru diambil Lee Kang-in bagi meletakkan Korea Selatan di hadapan.

Jaringan itu jelas meningkatkan lagi keinginan Korea untuk menambah jaringan tetapi barisan pertahanan skuad negara serta penjaga gol, Rahadiazli Rahalim tidak mahu gawang mereka terus dibocori sehingga tamat separuh masa pertama.

Tiga minit selepas aksi babak kedua bersambung, Korea Selatan menambah jaringan kedua menerusi rembatan padu diledakkan Kim Tae-hwan dari luar kawasan penalti susulan keadaan kelam-kabut ketika pemain pertahanan negara gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Pasukan negara merapatkan defisit jaringan apabila hantaran cantik daripada Nik Akif Syahiran Nik Mat terus mencari Mukhairi Ajmal yang kemudiannya meluru pantas ke dalam kawasan penalti sekali gus dengan tenang membolosi gawang Korea Selatan pada minit ke-82.

Jaringan itu jelas membuatkan para pemain negara untuk mencari jaringan penyamaan tetapi sedikit kealpaan dalam keghairahan bagi mendapatkan jaringan dihukum oleh Chu Yong-wook yang mendapatkan dua jaringan pada minit ke-88 dan 92.

Saksikan perlawanan-perlawanan skuad Harimau Malaya ini secara langsung di TV9 atau boleh klik di sini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Piala Asia B-23: Jurulatih Korea Selatan Akui Malaysia Lawan Yang Sukar

AFC B-23: Brad Maloney Tetap Puji Aksi Ditampilkan Anak Buahnya

Analisis Taktikal: 2 Falsafah Guardiola Digunakan Korea Selatan Menewaskan Malaysia