Penyerang muda negara, Luqman Hakim terus mengutip minit permainan bersama skuad senior KV Kortrijk dimana beliau diturunkan dalam perlawanan Piala Belgium semalam.

Kortrijk turun menentang OH Leuven pada aksi peringkat 16 pasukan terakhir Piala Belgium dan Luqman disenaraikan dalam skuad utama dimana beliau memulakan perlawanan di bangku simpanan.

Setelah mendahului 3-0, pengurus KV Kortrijk, Bernd Storck memasukkan Luqman Hakim pada minit ke-89 bagi menggantikan Faïz Selemani di bahagian serangan.

Pemain berusia 20 tahun itu beraksi selama empat minit sekaligus membantu pasukannya memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1 dimana jaringan dicipta menerusi Massimo Bruno pada minit ke-55, Habib Keita pada minit ke-80 dan Felipe Avenatti pada masa tambahan manakala gol tunggal Leuven dijaringankan oleh Mario Gonzalez.

Sebelum ini, graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu tampil buat kali pertama bersama skuad senior musim ini pada perlawanan menentang KVC Westerlo pada Oktober lalu.

Berselang dua tahun selepas beliau membuat penampilan sulung pada 24 Oktober 2020 ketika bertemu Anderlecht, Luqman dibawa masuk oleh pengendali pasukan ketika itu, Adnan Custovic pada minit ke-88 bagi menggantikan Felipe Nicolás Avenatti. Perlawanan di laman sendiri itu bagaimanapun menyaksikan KV Kortrijk tewas dengan keputusan 0-2.

Meskipun hanya mempunyai minit bermain yang minimum bersama skuad senior, namun Luqman sering terlibat bersama skuad B-21 tahun dimana beliau sudah beberapa kali diturunkan dalam kesebelasan utama.

Oktober lalu, Luqman beraksi selama 85 minit bersama skuad KV Kortrijk B-21 Tahun dalam saingan Liga Pro B-21 Tahun menentang Lierse Kempenzonen.

Ketika menentang Zulte Waregem, Luqman menyumbang satu assist serta menjaringkan satu gol dimana beliau Luqman membuka tirai jaringan ketika permainan memasuki minit kelima dimana beliau memanfaatkan bola hasil daripada hantaran Benoit Olivier.

Pemain berusia 20 tahun itu kemudiannya menyumbang satu assist untuk jaringan yang dihasilkan oleh pemain kacukan Belgium-Itali Luca Foubert. Luqman kemudiannya dikeluarkan pada minit ke-70.