Penyerang muda negara, Luqman Hakim terus tampil cemerlang bersama skuad KV Kortrijk B-21 Tahun dimana beliau menjaringkan satu gol dan menyumbanh satu assist.

Perkara ini dikongsikan oleh KV Kortrijk Malaysia Fans di laman media sosial Instagram dimana Luqman diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Zulte Waregem dalam saingan Piala Belgium B-21 Tahun.

Luqman membuka tirai jaringan ketika permainan memasuki minit kelima dimana beliau memanfaatkan bola hasil daripada hantaran Benoit Olivier.

Pemain berusia 20 tahun itu kemudiannya menyumbang satu assist untuk jaringan yang dihasilkan oleh pemain kacukan Belgium-Itali Luca Foubert. Luqman kemudiannya dikeluarkan pada minit ke-70.

Sebelum ini, Luqman Hakim beraksi bersama skuad utama KV Kortrijk dimana beliau diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi bertemu KVC Westerlo dalam saingan Jupiler Pro League.

Berselang dua tahun selepas beliau membuat penampilan sulung pada 24 Oktober 2020 ketika bertemu RSC Anderlecht, Luqman dibawa masuk oleh pengendali pasukan, Adnan Custovic pada minit ke-88 bagi menggantikan Felipe Nicolás Avenatti.

Perlawanan di laman sendiri itu bagaimanapun menyaksikan KV Kortrijk tewas 0-2 sekali gus terus meletakkan mereka ditangga ke-16 dalam carta liga.

Luqman turut disenaraikan dalam skuad senior ketika bertemu Oud-Heverlee Leuven tetapi pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu tidak diberikan peluang beraksi.

Meskipun jarang diturunkan bersama skuad utama, namun Luqman sentiasa mendapat kepercayaan pengendali skuad B-21 tahun Kortrijk iaitu Kurt Berton untuk tampil dalam kesebelasan utama dan ini merupakan satu perkembangan yanh baik bagi pemain tersebut.

Apa yang pasti, satu proses panjang yang perlu dilalui oleh Luqman dan sudah pastinya beliau mengharapkan sokongan padu khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Luqman Hakim mula menyertai kelab yang dimiliki oleh jutawan tanah air, Datuk Vincent Tan itu selepas menandatangani kontrak selama lima tahun pada Ogos 2020.