Penyerang skuad kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin berdepan tugasan penting bersama kelabnya, KV Kortrijk apabila berada dalam senarai 21 pemain yang dipilih menyertai skuad utama untuk menghadapi saingan Piala Belgium awal pagi esok.

KV Kortrijk dijadualkan menentang KV Oostende di pusingan ketujuh pada pukul 3.30 pagi waktu Malaysia (Khamis, 2 Disember 2021) dan ia merupakan perlawanan kalah mati untuk menentukan tempat ke suku akhir.

Tinjauan di laman web rasmi KV Kortrijk juga telah mengesahkan perkara itu apabila senarai penuh 21 pemain telah dikeluarkan secara rasmi. Turut tersenarai ialah pemain skuad kebangsaan Australia, Trent Sainsbury.

Ini juga merupakan peluang terbaik untuk Luqman Hakim membuktikan keupayaan beliau sekiranya diturunkan dalam perlawanan itu. Minggu lepas pemain yang berusia 19 tahun itu menjaringkan gol untuk skuad bawah 21 tahun ketika menentang Westerlo dalam saingan Liga Pro Belgium bawah 21 tahun.

Sama-sama kita saksikan jika anak muda ini bakal tampil dalam perlawanan kompetitif di peringkat senior sekaligus memberikan lebih keyakinan dan semangat sebelum kembali menyertai Harimau Malaya dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura minggu depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Luqman Hakim bersama KV Kortrijk yang pernah dilaporkan oleh Vocket FC sebelum ini. 

Luqman Hakim Bantu KV Kortrijk Belasah KRC Harelbeke Dalam Aksi Pemanas Badan

Aksi Pra Musim Beri Pengalaman Berguna Kepada Luqman Hakim

Luqman Hakim Punyai ‘Chant’ Khas Dari Peminat KV Kortrijk