Penyerang muda negara, Luqman Hakim menyumbang satu assist pada penampilan pertamanya dalam aksi kompetitif bersama Njardvík.

Perkara ini dikongsikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad menerusi laman media sosial Twitter miliknya.

Akan tetapi, Amin tidak memberi penerangan secara terperinci mengenai assist Luqman Hakim dimana Njardvík berjaya mencatat kemenangan 3-2.

Pada perlawanan menentang Augnablik dalam saingan Iceland Football Cup, Luqman mendapat kepercayaan pengendali pasukan apabila beliau diturunkan dalam kesebelasan utama.

Luqman tidak mengambil masa yang lama untuk turun beraksi bersama Njardvík selepas mendapat permit kerja dari kerajaan Iceland sekaligus membenarkan beliau untuk beraksi dalam saingan liga domestik.

Sebelum ini, Luqman tidak boleh diturunkan dalam aksi kompetitif Njardvík ekoran masih belum menerima permit kerja dan beliau banyak terlibat dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Sebelum ini, Njardvík turun menentang Reykjavíkur dalam satu perlawanan persahabatan tertutup dan Luqman diturunkan dalam kesebelasan utama oleh pengendali pasukan.

Luqman tidak mensia-siakan peluang yang dimiliki dimana beliau menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-23. Gol tunggal Luqman bertahan sehingga wisel penamat dan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Luqman turut menjaringkan dua gol ketika Njardvík turun menentang Haukar FC dalam satu aksi persahabatan yang mana pemain itu turut diturunkan dalam kesebelasan utama.

Untuk makluman, Luqman menyertai Njardvik secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk selama satu musim dan beliau berazam untuk meraih sebanyak mungkin minit permainan bersama kelab baharunya itu selepas bergelut untuk tampil bersama skuad utama dalam Liga Belgium.