Penyerang muda negara, Luqman Hakim sah menyertai kelab Liga Iceland, UMF Njardvík secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana Njardvík meminjam Luqman selama setahun.

“Njardvík telah mencapai kata sepakat dengan KV Kortrijk untuk meminjam Luqman Hakim selama semusim sehingga saingan 2023 tamat.

“Berasal dari Malaysia, Luqman merupakan pemain di bahagian serangan dengan jumlah dua penampilan bersama Malaysia dan banyak penampilan bersama pasukan junior.

“Pemain berusia 20 tahun itu termasuk dalam senarai 60 pemain muda berpotensi pada 2019. Beliau menyertai Kortrijk pada 2020 dan sejak itu telah membuat dua penampilan bersama skuad senior. Selain itu, beliau juga beraksi bersama skuad B-21 Tahun kelab.

“Luqman telah tiba di negara ini dan kami tidak sabar untuk melihat beliau beraksi. Kami mengucapkan selamat datang kepada Luqman,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.

Musim ini, Luqman diturunkan dalam beberapa perlawanan bersama skuad senior KV Kortrijk seperti ketika menentang OH Leuven pada aksi peringkat 16 pasukan terakhir Piala Belgium.

Sebelum ini, graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu tampil buat kali pertama bersama skuad senior musim ini pada perlawanan menentang KVC Westerlo pada Oktober lalu.

Berselang dua tahun selepas beliau membuat penampilan sulung pada 24 Oktober 2020 ketika bertemu Anderlecht, Luqman dibawa masuk oleh pengendali pasukan ketika itu, Adnan Custovic pada minit ke-88 bagi menggantikan Felipe Nicolás Avenatti. Perlawanan di laman sendiri itu bagaimanapun menyaksikan KV Kortrijk tewas dengan keputusan 0-2.