Ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah mengumumkan senarai 28 pemain yang dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat menjelang temasyak Sukan SEA 2019 yang akan bermula pada 30 November ini. Dalam senarai tersebut, terdapat beberapa kejutan dimana ada nama-nama baharu yang disenaraikan.

Dalam senarai baharu tersebut, nama penyerang skuad B-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin paling menarik perhatian ramai dimana setelah beraksi cemerlang bersama skuad kendalian Lim Teong Kim dan Brad Maloney, pemain berusia 17 tahun itu akhirnya disenaraikan untuk beraksi bersama pemain yang lebih senior.

Luqman
Sumber Gambar: Yakult

Luqman mula mendapat perhatian setelah beliau memenangi anugerah Penjaring Terbanyak temasya AFC B-16 Tahun yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2018 bersama dua pemain lain iaitu Noah Botic dari Australia serta Shoji Toyama daripada Jepun. Ketiga-tiga pemain ini menjaringkan 5 gol sepanjang kejohanan berlangsung.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini meneruskan rentak cemerlang dengan membantu skuad B-19 tahun negara mara ke perlawanan akhir temasya AFF B-19 Tahun di Vietnam pada Ogos lalu. Luqman menjaringkan empat gol namun tidak berjaya membantu Malaysia yang tewas kepada Australia di pentas Final.

Luqman Hakim
Luqman Hakim Shamsudin

Melihat kepada prestasi semasa pemain yang berlatih bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ini, beliau dilihat menjadi pemain yang sesuai untuk melengkapi trio serangan skuad B-22 tahun negara di samping ketua pasukan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Sebelum ini, pada temasya AFF B-22 di Cambodia dan kempen kelayakan AFC B-23 pada Februari dan Mac lalu, Datuk Ong menurunkan Hadi Fayyadh sebagai penyerang utama dan pemain Fagiano Okayama itu berjaya menyumbangkan dua gol, lebih tepatnya ketika Malaysia mengikat Indonesia dan menewaskan Myanmar di Pnom Penh.

Baca artikel lain mengenai Luqman Hakim yang telah kami sediakan di sini:

Ong Kim Swee Tidak Setuju Luqman Hakim Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Kos Untuk Melahirkan Seorang ‘Luqman Hakim’ Ialah Sekitar RM50,000 Setahun

KV Kortrijk, Kelab Divisyen Utama Liga Belgium Sambar Luqman Hakim Dengan Kontrak 5 Tahun