Penyerang skuad B-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin mahu segera melupakan kekalahan kepada Australia di perlawanan akhir kejohanan Piala AFF B-18 Tahun di Vietnam dan berazam untuk membantu Malaysia untuk layak ke Kejohanan B-19 AFC 2020.

Luqman menamatkan kejohanan AFF B-18 tahun dengan catatan 4 gol namun pemain berusia 17 tahun itu menegaskan beliau tidka berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan kerana gagal membantu pasukan negara mengekalkan kejuaraan yang dimenangi minggu lalu.

Luqman
Sumber Gambar: NFDP

Luqman berkata: “Semangat saya masih membara. Sebagai pemain kebangsaan, kita perlu sentiasa ada semangat untuk menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Mengenai prestasi saya, rasanya ia tidak memuaskan kerana saya tidak dapat bantu pasukan muncul juara. Setiap pemain dalam pasukan ini ada sifat ingin menang, jadi saya ada rasa sedikit tidak berpuas hati,” katanya menurut laporan Utusan.

Pada masa yang sama, Luqman menegaskan fokus utamanya terarah kepada membantu pasukan negara dalam saingan peringkat kelayakan AFC B-19 yang akan berlangsung di Kemboja dari 2 hingga 10 November.

Bekas
Aksi Luqman ketika saingan AFC B-16 Tahun
Sumber Gambar: IB

“Pujian itu semua saya mahu letak tepi dulu kerana dengan pujian ini semua bukan kita boleh buat apa-apa pun, jadi saya mahu terus pandang ke hadapan.

“Saya mahu pasukan layak ke Kejohanan AFC dan misi paling utama saya nak bantu Malaysia ke Piala Dunia,” ujarnya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan G akan berentap bersama-sama Thailand, Brunei, Kepulauan Mariana Utara dan juga Kemboja selaku pasukan tuan rumah.