Penyerang skuad kebangsaan, Luqman Hakim menjaringkan gol bagi menyelamatkan kelabnya, Njardvík daripada mengalami kekalahan dalam saingan Lengjudeild Karla, awal pagi tadi.

Njardvík turun menentang Selfoss dan Luqman terlebih dahulu diletakkan di bangku simpanan. Setelah dimasukkan, pemain itu berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-84 sekaligus memastikan satu mata diperoleh oleh pasukannya di laman sendir.

Jaringan yang dihasilkan oleh Luqman Hakim tiba sebelum beliau pulang ke Malaysia bagi menyertai kem latihan skuad B-23 Tahun negara menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Chonburi, Thailand kelak.

Sebelum ini, Luqman turut menjaringkan gol buat Njardvik ketika pasukannya menewaskan KFA dengan keputusan 4-2 pada aksi kalah mati saingan Piala Bola Sepak Lelaki Iceland, April lalu.

Gol pembukaan Njardvik menjelma pada minit ke-60 menerusi Marc McAusland dan beliau menambah gol kedua berselang tujuh minit kemudian.

Marteinn Már Sverrisson cuba merapatkan jurang ketika permainan memasuki minit ke-86 tetapi kegembiraan pasukan itu hanya mampu bertahan selama dua minit selepas Oumar Diouck menjaringkan gol ketiga buat Nardvik.

Luqman yang masuk sebagai pemain gantian tidak mahu melepaskan peluang untuk turut meletakkan nama selaku penjaring pada masa kecederaan sekali gus memastikan kemaraan buat Njardvik ke pusingan 16.

Luqman turut membantu pasukannya dengan mencipta bantuan jaringan dalam satu lagi aksi piala ketika menentang Augnablik.

Manakala ketika aksi persahabatan, anak kelahiran Kota Bahru itu berjaya menjaringkan gol ketika menentang Reykjavíkur (satu gol) dan Haukar FC (dua gol).