Penyerang muda negara, Luqman Hakim terus menampilkan prestasi baik di Iceland apabila baru-baru ini beliau menjaringkan satu gol untuk Njardvík dalam satu aksi persahabatan.

Njardvík turun menentang Reykjavíkur dalam satu perlawanan persahabatan tertutup dan Luqman diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih pasukan iaitu Bjarni Jóhannsson dan Hólmar Örn Rúnarsson.

Luqman tidak mensia-siakan peluang yang dimiliki dimana beliau menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-23. Gol tunggal Luqman bertahan sehingga wisel penamat dan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Sebelum ini, Luqman Hakim menjaringkan dua gol ketika Njardvík turun menentang Haukar FC dalam satu aksi persahabatan yang mana pemain itu turut diturunkan dalam kesebelasan utama.

Jaringan pertama hadir apabila bekas graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu menyudahkan hantaran daripada rakan sepasukan dengan satu rembatan menewaskan penjaga gol lawan pada separuh masa pertama.

Jaringan kedua hadir apabila pemain itu memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol lawan sekaligus membantu Njardvik meraih kemenangan.

Luqman ketika ini sedang menunggu visa dan juga permit kerja daripada kerajaan tempatan bagi membolehkan beliau turun dalam saingan Liga Iceland

Pihak kelab memberitahu bahawa mereka sedang bekerja keras dalam menyiapkan segala dokumen berkaitan demi merealisasikan penampilan pertama Luqman bersama pasukan.

Untuk makluman, Luqman menyertai Njardvik secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk selama satu musim dan beliau berazam untuk meraih sebanyak mungkin minit permainan bersama kelab baharunya itu.