Penyerang kuda skuad kebangsaan, Luqman Hakim mula menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan baharu beliau di kelab Liga Iceland iaitu Njardvik FC.

Pihak kelab memuat naik video di laman media sosial rasmi pasukan yang menunjukkan Luqman menjalani latihan dan video tersebut nyata mendapat sambutan hangat dari peminat bola sepak tanah air.

Seperti yang anda boleh lihat dalam video di atas, cuaca di Iceland menjadi salah satu halangan terbesar dimana angin yang kuat ditambah dengan salji yang turun ketika sesi latihan tersebut.

Luqman Hakim dilihat tidak berdepan masalah ketika menjalani latihan ekoran sudah biasa dengan cuaca sejuk dan juga angin kuat ketika beliau beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

Perpindahan pemain berusia 20 tahun ini ke Liga Iceland disambut baik oleh ramai pihak dimana ini merupakan peluang keemasan untuk pemain itu mendapat minit permainan yang mencukupi dimana beliau akan beraksi dalam saingan divisyen dua.

Bekas pemain skuad kebangsaan dan jurulatih berpengalaman, Datuk Zainal Abidin Hassan memberikan nasihat kepada bekas graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu dimana beliau menggesa agar Luqman terus kekal beraksi di Eropah.

“Tahniah kepada Luqman Hakim. Selagi dia berada dalam dunia Eropah, ia tetap pentas terbaik. Saya ucapkan selamat maju jaya dan jangan putus asa. Kita tahu betapa tingginya mutu bola sepak di sana.

“Untuk pasukan Malaysia pergi lebih jauh, kita perlukan lebih ramai pemain berhijrah khususnya di Eropah untuk menimba pengalaman dan kukuhkan pasukan kebangsaan,” katanya.

Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad berkongsi maklumat dimana Luqman sedang dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan juga persekitaran disana dan beliau turut menegaskan pemain itu bersemangat tinggi untuk memastikan beliau mendapat tempat di Njardvik.