Sulaiman

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin kembali menyertai sesi latihan bersama KV Kortrijk setelah beliau menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia B-23 minggu lalu.

Malah, beliau juga sempat diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang KV Mechelen semalam sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Belgium.

Dalam perlawanan itu, Kortrijk terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Pape Gueye yang memanfaatkan situasi bola muntah pada minit ke 10. David Henen kemudian menambah gol kedua pada minit ke 35 sebelum Gueye sekali lagi menjaringkan gol kedua menjadi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, pengendali Kortrijk, Karim Belhocine melakukan beberapa pertukaran pemain termasuk menurunkan Luqman Hakim pada minit ke 73 bagi menggantikan tempat Dylan Mbayo.

Bagaimanapun, pada minit ke 75, Mechelen kembali merapatkan kedudukan menerusi jaringan Yonas Malede dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Walaupun Luqman hanya sempat beraksi selama 17 minit, ia memberikan sedikit keyakinan kepadanya untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik seperti dulu.

Selepas ini, KV Kortrijk akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang FC Dordrecht pada hari Sabtu ini. Aksi pra musim merupakan peluang terbaik untuk Luqman Hakim membuktikan keupayaan beliau sekiranya diturunkan dalam perlawanan itu.

Sama-sama kita saksikan jika anak muda ini bakal tampil dalam perlawanan kompetitif di peringkat senior sekaligus memberikan lebih keyakinan dan semangat sebelum kembali menyertai Harimau Malaya.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group