Penantian panjang penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Divisyen Satu Belgium berakhir apabila beliau diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi bertemu KVC Westerlo, awal pagi tadi.

Berselang dua tahun selepas beliau membuat penampilan sulung pada 24 Oktober 2020 ketika bertemu Anderlecht, Luqman dibawa masuk oleh pengendali pasukan, Adnan Custovic pada minit ke-88 bagi menggantikan Felipe Nicolás Avenatti.

Perlawanan di laman sendiri itu bagaimanapun menyaksikan KV Kortrijk tewas 0-2 sekali gus terus meletakkan mereka ditangga terbawah kempen liga.

Selepas mengharungi 14 perlawanan liga, mereka sekadar mencatatkan tiga kemenangan, dua keputusan seri dan sembilan kekalahan.

Meskipun tidak banyak dapat dilakukan pemain berusia 20 tahun itu kerana hanya dimasukkan pada minit akhir permainan, kemasukan itu sedikit sebanyak memberikan gambaran jelas bahawa Custovic meletakkan kepercayaan terhadap Luqman.

Sebelum ini Luqman Hakim turut disenaraikan dalam skuad senior ketika bertemu Oud-Heverlee Leuven tetapi pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu tidak diberikan peluang beraksi.

Perkembangan karier Luqman di Belgium secara dasarnya berada di landasan terbaik kerana mendapat kepercayaan ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun (B-21) KV Kortrijk untuk diturunkan dalam perlawanan Pro League B-21.

Beliau turut berjaya menjaringkan gol ketika membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 2-1 ketika bertemu Excelsior Virton, dua minggu lalu.

Mungkin ada peminat bola sepak tempatan yang meragui kemampuan Luqman di Belgium tetapi pelbagai pengalaman dikecapi pemain tersebut mampu untuk mematangkan perjalanan kariernya.

Satu proses panjang yang perlu dilalui oleh Luqman dan sudah pastinya beliau mengharapkan sokongan padu khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Luqman Hakim mula menyertai kelab yang dimiliki oleh jutawan tanah air, Datuk Vincent Tan itu selepas menandatangani kontrak selama lima tahun pada Ogos 2020.