Penyerang sensasi skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin bakal beraksi bersama pasukan pembangunan Selangor, Selangor 2 bagi mendapatkan minit bermain sebelum terbang ke Eropah bagi menyertai KV Kortrijk.

Menurut laporan Harian Metro, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mendaftarkan nama Luqman pada saat akhir sebelum jendela perpindahan pemain Liga Malaysia ditutup Ahad lalu.

Luqman sepatutnya terbang ke Eropah bagi menyertai KV Kortrijk namun penularan wabak Coronavirus (COVID-19) menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan penerbangan dan masih belum ada tarikh tepat bila Luqman akan berangkat ke Belgium.

“Difahamkan nama Luqman disenaraikan dalam skuad Selangor II pada hari terakhir jendela pemain liga (Liga Malaysia) ditutup.

“Ini bermakna Luqman sekarang adalah pemain Selangor II dan bila liga mula balik, dia boleh beraksi untuk pasukan dalam Liga Perdana.

Luqman Hakim
Luqman Hakim dan Mukhairi Ajmal antara graduan AMD yang berjaya mencipta nama.

“Keputusan saat akhir ini sebab FAS tak mahu Luqman hilang minit permainan dan tak tahu lagi bila dia akan ke Belgium lagi. Tapi dengar-dengar, tawaran Selangor hanya untuk enam bulan saja, jadi lepas isu Covid-19 reda dia boleh pergi Eropah,” kata sumber.

Mengikut perancangan, Luqman dijadualkan menjalani latihan bersama satu lagi kelab milik Tan Sri Vincent Tan, Cardiff City sebelum menyertai KV Kortrijk.

Baca artikel lain mengenai Luqman Hakim Shamsuddin di sini:

Luqman Hakim Tunda Penerbangan Ke Eropah Ekoran Penularan Wabak Covid-19

Luqman Hakim Beri Respon Mengenai Tanggapan Jelmaan Supermokh

Luqman Hakim Pilihan Utama Lengkapkan Trio Serangan