Penyerang muda negara, Luqman Hakim beraksi selama 85 minit bersama skuad KV Kortrijk B-21 Tahun dalam saingan Liga Pro B-21 Tahun menentang Lierse Kempenzonen semalam.

Perkara ini dikongsikan oleh KV Kortrijk Malaysian Fans di laman media sosial Instagram dimana Kortrijk tewas dengan keputusan 3-1.

Sebelum ini, Luqman menjaringkan satu gol dan menyumbanh satu assist ketika perlawanan menentang Zulte Waregem dalam saingan Piala Belgium B-21 Tahun.

Luqman membuka tirai jaringan ketika permainan memasuki minit kelima dimana beliau memanfaatkan bola hasil daripada hantaran Benoit Olivier.

Pemain berusia 20 tahun itu kemudiannya menyumbang satu assist untuk jaringan yang dihasilkan oleh pemain kacukan Belgium-Itali Luca Foubert. Luqman kemudiannya dikeluarkan pada minit ke-70.

Gradua Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu juga membuat penampilan bersama skuad senior dimana beliau beraksi pada perlawanan menentang KVC Westerlo bulan lalu.

Berselang dua tahun selepas beliau membuat penampilan sulung pada 24 Oktober 2020 ketika bertemu Anderlecht, Luqman Hakim dibawa masuk oleh pengendali pasukan, Adnan Custovic pada minit ke-88 bagi menggantikan Felipe Nicolás Avenatti.

Perlawanan di laman sendiri itu bagaimanapun menyaksikan KV Kortrijk tewas 0-2 sekaligus kekal berada di kelompok bawahan dalam carta liga.

Meskipun tidak banyak dapat dilakukan pemain berusia 20 tahun itu kerana hanya dimasukkan pada minit akhir permainan, kemasukan itu sedikit sebanyak memberikan gambaran jelas bahawa Custovic meletakkan kepercayaan terhadap Luqman.

Sebelum ini Luqman Hakim turut disenaraikan dalam skuad senior ketika bertemu Oud-Heverlee Leuven tetapi pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu tidak diberikan peluang beraksi.

Perkembangan karier Luqman di Belgium secara dasarnya berada di landasan terbaik kerana mendapat kepercayaan ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun (B-21) KV Kortrijk untuk diturunkan dalam perlawanan Pro League B-21.

Satu proses panjang yang perlu dilalui oleh Luqman dan sudah pastinya beliau mengharapkan sokongan padu khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Luqman Hakim mula menyertai kelab yang dimiliki oleh jutawan tanah air, Datuk Vincent Tan itu selepas menandatangani kontrak selama lima tahun pada Ogos 2020.