Media tempatan hari ini melaporkan sebuah pasukan divisyen 1 Liga Jepun (J1), Cerezo Osaka berminat untuk mendapatkan khidmat bekas penjaring terbanyak kejohanan AFC B-16, Luqman Hakim Shamsudin.

Menurut laporan daripada Kosmo, perkembangan itu disahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu akan berangkat ke Jepun pada bulan depan untuk menjalani ujian pemilihan bersama kelab tersebut.

“InsyaAllah, Luqman akan ditempatkan di Cerezo dan jika lihat prestasinya ia sama seperti penyerang Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak juga.

“Memang Jepun sudah nampak dari awal prestasinya yang sangat baik dan boleh menjalani latihan serta jadi penyumbang terbesar kepada negara tercinta pada masa akan datang,” katanya.

ba231e1b535eb400ed4f

FOTO: VFF

Luqman kini beraksi untuk skuad Malaysia bawah 18 tahun (B-18) dan sedang menghadapi kejohanan AFF B-18 di Vietnam yang akan berakhir pada 19 Ogos ini. Beliau sempat menjaringkan satu gol ketika menentang Singapura semalam.

Baca: Luqman Hakim Antara 10 Pelatih AMD Dipilih Wakili Negara Dalam Kejohanan AFF B-19

Sebelum ini, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada mendedahkan 5 buah kelab Jepun telah menyatakan minat mereka untuk menguji Luqman berdasarkan prestasi cemerlangnya dalam kejohanan Piala Sanix di Fukuoka pada bulan Mac lalu.

Dalam kejohanan tersebut, Luqman menjadi satu-satunya pemain muda dari Malaysia yang tersenarai dalam kesebelasan terbaik Piala Sanix 2019. Dia telah terpilih dalam kalangan ratusan bakat muda yang hebat dan paling menarik, beliau telah dipilih sendiri oleh ketua jurulatih kelab-kelab yang bertanding.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumpulkan data dan video aksi pemain itu untuk diberikan kepada wakil kelab tersebut untuk dinilaikan sebelum membuat tawaran rasmi.

“Saya rasa ini adalah berita yang baik untuk Luqman. Saya mendapat berita ada lima pasukan liga Jepun yang bertanyakan mengenai dia.

“Mereka tertarik dan mahu melihat sendiri prestasi individu dari Luqman. Saya akan kumpulkan semua data dan video prestasi Luqman secara individu untuk diberikan kepada mereka. Apapun semuanya terpulang kepada Luqman sekiranya dia ingin bermain di sini,” katanya dalam Harian Metro.

k9x4umx85pxilwcpxsyv

Luqman Hakim merupakan penjaring terbanyak AFC B-16. FOTO: AFC

Hamada turut menjelaskan pihak Yakult sedia membantu Luqman mendapatkan tempat beraksi dengan kelab di negara matahari terbit itu sepertimana mereka membantu Hadi Fayyadh menyertai kelab J2, Fagiano Okayama.

“Kami bukan ejen bola sepak, kami hanya membantu mana-mana pemain Malaysia yang berminat dan layak untuk mendapat tempat di sini,” jelasnya.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group