Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin berada dalam senarai untuk menyertai kem latihan pusat bulan depan.

Menurut kenyataannya dalam Arena Metro, pemain KV Kortrijk tu akan pulang ke Malaysia berlatih bersama skuad senior sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 yang dijangka berlangsung pada bulan Jun 2021 secara karnival.

Tan Cheng Hoe kini memerlukan barisan pemain yang lebih kuat bagi mencerahkan peluang untuk mendapat tiket automatik ke Piala Asia 2023.

“Kita tahu Luqman dah kembali daripada kecederaan bersama kelabnya di Belgium dan dia kembali berlatih dan bermain dengan kelabnya.

“Jadi saya menyenaraikan namanya untuk memberi peluang kepada Luqman dalam latihan Mac nanti di mana pengalaman di sana boleh membantu kita.

“Saya harap dia boleh memberi sesuatu dan sumbangan buat pasukan dan harap dia bersedia,” kata Cheng Hoe.

Hakim
Kali terakhir Luqman menyarung jersi negara ialah ketika saingan Sukan SEA 2019 di Filipina. FOTO: FAM

Skuad Harimau Malaya sepatutnya menjalani latihan pada bulan ini namun ia terpaksa dibatalkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan oleh pihak Kerajaan.

Mereka akan kembali menjalani latihan pada bulan Mac depan secara kuarantin berpusat di kawasan yang terpilih setelah mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) dan Kemeterian Belia Dan Sukan (KBS).

Panggilan ke skuad kebangsaan merupakan peluang terbaik untuk Luqman meningkatkan prestasinya sekaligus meraih penampilan pertama di kelayakan Piala Dunia 2022.

Pada 4 Januari lalu, Luqman beraksi dalam perlawanan pemanas badan menentang Royal Excel Mouscron selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami pada Oktober 2020.

Pemain berusia 19 tahun itu beraksi selama 45 minit pertama perlawanan sebelum beliau digantikan pada separuh masa kedua. Meskipun tidak menyumbang sebarang jaringan ataupun bantuan gol, namun Luqman mendapat minit bermain yang berharga.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Luqman Hakim di sini.

Luqman Hakim Semakin Sado Sejak Bersama KV Kortrijk, Siapkan Badan Untuk Cabar Bola Sepak Eropah!

Luqman Hakim Pulih Dari Kecederaan, Kembali Sertai Sesi Latihan

Yves Vanderhaeghe Latih Luqman Untuk Ikuti “Tempo” Eropah