Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak tidak rela melihat pasukan tersingkir awal dalam saingan TM Piala Malaysia sekali gus memberi jaminan aksi anak buahnya akan tampil lebih berbeza untuk terus memburu kemenangan dalam perlawanan ketiga pada 29 Oktober depan.

Selepas kekalahan mengejut 1-3 kepada Melaka United FC dalam saingan Kumpulan C tempoh hari, pengendali dari Singapura ini mengakui barisan pemain gagal memanfaatkan peluang di depan mata seterusnya membuka ruang kepada skuad kendalian Zainal Abidin Hassan untuk mengasak mencari jaringan.

Justeru, beliau mengingatkan kepada anak buahnya untuk belajar daripada kesilapan selain akan terus menilai prestasi mereka dalam beberapa perlawanan persahabatan yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Apa yang penting adalah perancangan rapi yang perlu dilakukan Aidil terutamanya apabila empat pemain iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Ariff Farhan dan Fayadh Zulkifli yang kini bersama skuad kebangsaan kembali semula ke pangkuan kelab selain mahu memastikan mereka kekal cergas dalam tempoh menjalani kuarantin.

“Kita akan bersedia dengan rapi untuk menentang Negeri Sembilan pada 29 Oktober ini, tiada guna untuk kita ingat balik kekalahan kepada Melaka tempoh hari.

“Sebab itu, kita kena bersedia dengan perancangan lebih baik, dan mungkin kita akan ke Kuala Lumpur untuk bersedia dengan beberapa perlawanan persahabatan.

“Sekarang pemain-pemain yang bersama skuad negara akan menjalani kuarantin 14 hari sebaik sahaja pulang ke Malaysia, jadi biasanya kalau dalam kuarantin, kecergasan menjadi aspek utama dan diharapkan mereka akan lebih cergas untuk bersedia membantu Kedah pula,” jelasnya.

Bercakap mengenai pencapaian peribadi, Aidil semestinya mengidamkan pentas final Piala Malaysia yang kedua selepas berjaya membawa pasukan itu ke final pada 2019 untuk bergelar naib juara selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sejak membimbing Kedah pada musim 2019, jurulatih berusia 44 tahun ini mengakui mahu terus mengekalkan pencapaian yang telah diraih bersama pasukan ini sambil menyifatkan Kedah begitu dekat dengan dirinya untuk sama-sama mengharungi musim yang lebih baik.

“Semestinya saya ingin kekalkan apa yang telah diraih bersama pasukan termasuklah apabila saya kali pertama berjaya merasai pentas final pada 2019.

“Pada tahun ini, kita juga ingin mengulangi kembali pencapaian itu tetapi kita tetap kena ingat bahawa pasukan-pasukan lain mempunyai misi yang sama dan persaingan akan semakin sengit selepas ini untuk memburu kemenangan,” tambahnya.