Romelu Lukaku tampil dengan permohonan maaf terbuka kepada semua pihak di Chelsea selepas wawancara di luar pengetahuan kelab.

Sebelum ini Thomas Tuchel dengan tegas menyatakan bahawa tindaka Lukaku ini tidak boleh diterima walaupun dia pemain termahal dalam sejarah kelab sekalipun.

Tuchel menggugurkan nama Lukaku daripada tugasan menentang Liverpool. Walaupun pemain itu sudah mulai mendapat sentuhan golnya.

Dalam wawancara yang kontroversi bersama Sky Italia, Lukaku mengkritik taktikal Thomas Tuchel dan pada masa yang sama mengagung-agungkan kelab lamanya Inter Milan. Secara terbuka mahu pulang ke sana sekali lagi.

Lukaku dibeli dengan nilai £97.5 juta pada musim panas yang lalu. Pemain yang pulang semula ke Chelsea selepas berkarier di Stamford Bridge ketika masih muda sebelum ke Everton secara tetap. Sebelum itu dia menikmati musim pinjaman cemerlang bersama West Brom.

Selepas cemerlang di Everton, Lukaku ke Manchester United dan kemudian Inter Milan.

Kepulangan semula ke Chelsea berlaku apabila Tuchel mahukan pemain no.9 baharu walaupun sudah ada Timo Werner.

Lukaku menerima £325,000 seminggu di London. Menyatakan kepada Sky Italia, bahawa dia sedia melanjutkan kontrak dengan Inter kalau ada tawaran.

“Bising terlalu bising, kami tak perlukan kebisingan itu masa ini,” kata Tuchel sebelum aksi berdepan Liverpool.

“Kami terpaksa sisihkan dia dahulu kerana tidak mahu menjejaskan persiapan kami sepanjang minggu ini,” tambah Tuchel.

Selepas aksi berdepan Liverpool, Tuchel menjelaskan bahawa Lukaku sentiasa ada peluang untuk kembali dan segalanya bergantung kepada pemain itu sendiri.

Akhirnya Lukaku menyesal dan meminta maaf. Video permohonan maafnya dimuat naik oleh Twitter rasmi Chelsea.

Lukaku berkata: “Kepada para penyokong, saya meminta maaf di atas tindakan saya yang membuatkan kamu kecewa.”

“Kamu semua tahu hubungan yang saya ada dengan kelab ini sejak saya remaja lagi. Dan saya sangat sangat faham kenapa kamu semua kecewa.”

“Jelas sekali, sekarang ini semuanya bergantung kepada saya sendiri untuk mengembalikan keyakinan kamu. Dan saya akan melakukan komitmen terbaik setiap hari dan memastikan kita akan memenangi perlawanan.”

“Kepada pengurus, saya meminta maaf dan saya juga menyatakan maaf saya kepada rakan sepasukan, lembaga pengarah, kerana saya rasa, ianya masa yang tidak sesuai [untuk melakukan wawancara].”

“Saya nak bergerak ke hadapan dari titik ini, dan memastikan kita akan mulai memenagi perlawanan dan saya akan menunjukkan kelakuan terbaik untuk pasukan ini.”

Lukaku memberitahu bahawa, dia mahu menyampaikan mesej selamat tinggal yang lebih baik dengan peminat Inter Milan. Ini selepas hubungan Lukaku dengan penyokong Inter agak retak selepas pemain itu memutuskan untuk menyertai Chelsea walaupun sudah berikrar mahu kekal.

“Saya sepatutnya menyampaikan mesej itu dengan lebih jelas. Wawancara itu adalah berkenaan dengan ucapan perpisahan dengan peminat Inter, saya bukannya mahu memperlekehkan peminat Chelsea, kelab, pemilik, rakan sepasukan, staf kejurulatihan.”

“Sebab saya dah banyak berkorban untuk kembali ke sini, dan saya mahu kembali ke sini. Saya sudah menamam misi untuk kembali ke sini, sejak hari saya meninggalkan kelab ini. Jadi saya sangat faham tentang kekecewaan peminat Chelsea.”

“Namun sekarang saya harus memastikan komitmen saya 100% dan saya akan melakukannya dalam setiap perlawanan.”

“Kelab saya adalah Chelsea, semua orang tahu, sejak usia 10 atau 11 tahun lagi saya sudah menyatakan bahawa saya mahu bermain untuk Chelsea.”:

“Jadi pada saya, saya tiba di sini pada usia 18 tahun dan segalanya tidak begitu bagus. Sekarang saya kembali pada usia 28 tahun, pada prestasi kemuncak dalam karier saya. Saya tak boleh merosakkan semua ini.”

Thomas Tuchel menerima permohonan maaf Lukaku dan menegaskan bahawa pemain itu tidak sengaja mahu melukakan hati peminat Chelsea. Tuchel juga mengesahkan bahawa Lukaku kembali semula ke dalam skuad selepas permohonan maaf itu diterima.

Tuchel menambah: “Dia sangat sedar tentang kesan daripada perkara yang dia buat. Dia rasa bertanggungjawab dan membersihkan semula kekacauan ini.”

Tentang hukuman ke atas Lukaku, Tuchel berkata: “Tindakan disiplin akan diambil, dan dia akan menerimanya, sudah tentu.”

“Ini bukan benda kecil, tapi bukanlah benda yang sangat besar, namun benda ini berlaku dan dia akan didenda. Dan ya, dia harus menerimanya.”