Pemain import pasukan Sabah, Luka Milunovic menjadi pilihan utama Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) untuk menggantikan Liridon Krasniqi yang sehingga kini belum kembali daripada proses pemulihan kecederaan di Jerman.

Menurut timbalan presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) telah memberikan pelepasan kepada pemain dari Serbia itu untuk menjalani latihan bersama Melaka.

Yusoff Mahadi
Photo by Malaymail

“SAFA sudah memberi lampu hijau bagi membolehkan MUSA kembali menyenaraikan pemain tengah itu bersama pasukan.

“Malah pemain terbabit dijangka akan memulakan sesi latihan hari ini di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan pembantunya Nidzam Adzha Yusof serta Asri Ninggal,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Liridon Krasniqi
Sumber Gambar: MUSA

Liridon terbang ke Jerman selepas perlawanan menentang Terengganu FC pada Mac lalu dimana beliau dikhabarkan mengalami kecederaan.

Namun, status beliau yang masih belum jelas menyebabkan Melaka mencari pengganti bagi menghadapi baki saingan 2019.

Luka Milunovic pada awal musim ini beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan bersama Melaka. Akan tetapi, kemasukan Liridon menyaksikan beliau di pinjaman ke pasukan Sabah.