Bekas pengendali Chelsea, Luiz Felipe Scolari dilaporkan telah menolak tawaran daripada  Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk membimbing pasukan itu menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan datang.

Scolari yang pernah membawa Brazil muncul sebagai juara Piala Dunia 2002 kini sedang menganggur setelah dipecat oleh kelab Palmeiras pada bulan September lepas.

Namun, ejennya iaitu Jorge Machado mendedahkan jurulatih yang berusia 71 tahun itu telah mendapat tawaran lumayan mengendalikan beberapa kelab dari Asia termasuk pasukan berstatus skuad kebangsaan.

Machado menjelaskan Scolari tidak berminat lagi untuk melatih pasukan kebangsaan sebaliknya beliau kini mahu menumpukan perhatian untuk membentuk pasukan mantap dalam sebuah kelab.

“Tentang skuad kebangsaan, ada orang telefon tetapi ia tidak akan jadi kenyataan. Itu bukan sasaran utama Felipe untuk kembali melatih pasukan negara ketika ini.

“Kami mempunyai hubungan yang kuat dari Asia. Satu dari China dan satu lagi dari UAE.  Selepas wabak pandemik berakhir barulah kami akan berbincang lebih lanjut,” katanya dipetik dalam The National.

Bola sepak Asia bukanlah asing bagi Scolari kerana beliau pernah melatih Jubilo Iwata (Jepun), Bunyodkor (Uzbekistan) dan Guangzhou Evergrande (China).

UAE kini sedang giat mencari ketua jurulatih baharu bagi menggantikan tempat Ivan Jovanovic yang dipecat minggu lalu walaupun baru dilantik pada bulan Disember 2019.

Berdasarkan situasi semasa, kelab UAE yang mungkin berminat untuk mendapatkan khidmat Scolari ialah Shabab Al Ahli selepas jurulatih pasukan itu, Rodolfo Arruabarrena telah ditamatkan kontrak bulan lepas.

Arruabarrena turut dilihat sebagai calon utama untuk mengendalikan skuad UAE kerana beliau mempunyai pengalaman membimbing kelab Qatar, Al Rayyan serta dua kelab UAE iaitu Al Wasl dan Shabab Al Ahli serta membantu mereka meraih pelbagai kejuaraan antaranya Piala Sheikh Jassim, Piala Presiden UAE dan Liga Pro UAE.

UAE kini berada di kedudukan keempat kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 dengan 6 mata selepas 4 perlawanan. Prestasi mereka ketika dibawah bimbingan Van Marwijk tidak begitu memuaskan apabila tewas kepada dua pasukan Asean, Vietnam dan Thailand.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak UAE yang dilaporkan sebelum ini.

Sebastian Tagliabue Teruja Dapat Pasport UAE, Tidak Sabar Buat Penampilan Pertama Bertemu Malaysia

UAE Lupakan Hasrat Untuk Dapatkan Khidmat Zlatko Dalic

Fabio De Lima Sah Jadi Pemain Naturalisasi Ketiga UAE