Penyerang berbisa Atletico Madrid, Luis Suarez mendedahkan bahawa tiada rasa hormat diberikan oleh bekas kelabnya, Barcelona sehingga menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan kelab Catalan tersebut pada awal musim ini.

Berhijrah ke Atletico Madrid dengan yuran perpindahan bernilai €6 juta, Suarez tidak memerlukan masa yang lama untuk membuktikan kualiti hebat dimilikinya.

Ia dibuktikan apabila pemain kelahiran Salto, Uruguay itu menjadi sandaran utama buat Atletico pada ketika ini dalam memimpin carta La Liga dengan kelebihan tiga mata di hadapan musuh tradisi, Real Madrid.

Selepas mengharungi 23 perlawanan liga, Suarez sudah meledakkan 16 gol untuk bersama-sama bekas rakan sepasukannya, Lionel Messi bergelar penjaring terbanyak pada ketika ini.

Meskipun sumbangannya sudah cukup untuk membuktikan beliau begitu gembira di Wanda Metropolitano, tetapi Suarez tetap terkilan dengan apa yang dilakukan oleh pengurusan Barcelona terhadap dirinya.

“Apa yang membuatkan saya begitu terganggu apabila mereka mengatakan bahawa saya sudah tua dan tidak mampu untuk beraksi dalam saingan tertinggi.”

“Sekiranya saya langsung tidak melakukan apa-apa di kelab seperti Barca untuk tempoh tiga atau empat tahun, saya akan memahami keadaan itu.”

“Tetapi, setiap tahun di Barca, saya telah menjaringkan lebih daripada 20 gol pada setiap musim. Saya juga sentiasa mempunyai statistik yang baik, hanya di belakang Leo [Lionel Messi,” ujar Suarez menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Hari ini, kita dapat melihat bukan perkara yang mudah untuk bermain di Barcelona. Ramai pemain yang dibawa masuk tidak mencapai tahap yang diharapkan.”

“Saya telah bermain enam tahun di Barca, boleh sahaja mengekalkan tahap tersebut dan memenuhi apa yang mereka harapkan daripada saya.”

“Di Barcelona, keadaan telah berubah, kelab memerlukan peruhan dan saya menerimanya. Hanya perkara yang menganggu saya adalah apa yang telah terjadi. Saya rasa saya patut dihormati,” tambah Luis Suarez lagi.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Benjamin Mora Sifatkan Safiq Rahim Sebagai Salah Satu Aset JDT

Liga M3: Bakat Muda Orang Asli Curi Tumpuan Dalam Sesi Pemilihan Pemain MNY FC

Werner: EPL Ajar Saya Realiti Sebenar

Sumber