Prestasi yang ditampilkan bintang Liverpool, Mohamed Salah pada ketika ini kelihatannya tidak berjalan seperti yang diharapkan oleh para penyokong The Reds.

Pada enam aksi awal Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23, Salah hanya mampu menjaringkan dua gol dan mencipta dua bantuan jaringan dan lebih menyulitkan lagi keadaan dimana Liverpool kini berada di tangga ketujuh liga.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu hanya mencatatkan dua kemenangan, tiga keputusan seri dan satu kekalahan untuk mengumpul sembilan mata.

Satu permulaan yang kurang baik buat pasukan yang sentiasa menjadi pencabar kejuaraan liga untuk beberapa musim kebelakangan ini. Malah, Liverpool turut tewas 1-4 pada aksi sulung Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bertemu SS Napoli.

Meskipun berjaya mencatatkan kemenangan 9-0 ke atas Bournemouth yang mana Salah tidak berupaya untuk menjaringkan walau satu gol pun, aksi Liverpool pada perlawanan selainnya tidak seperti musim-musim lepas.

Sehubungan dengan perkembangan terkini itu, kegagalan Salah untuk mempamerkan kewibawaan di hadapan pintu gol pasukan lawan menjadi antara penyebab prestasi Liverpool tidak begitu meyakinkan pada ketika ini.

“Anda boleh menyaksikannya dan saya pasti bahawa Mo Salah mengetahui dirinya dengan sangat baik,” ujar Luis Garcia menurut laporan Sport Bible.

“Anda boleh lihat dia tidak mampu untuk menewaskan pemain lawan ketika situasi satu lawan satu (1v1), dia tidak berlari ke dalam pintu gol, dia begitu jauh daripada kotak (penalti). Dia terlalu ‘wide’ pada masa-masa tertentu.”

“Dia tidak berada dekat dengan kawasan penalti pasukan lawan dimana dia begitu berbahaya pada kedudukan tersebut.”

“Saya merasakan Mo Salah memerlukan rehat. Sangat penting buat seseorang pemain memahami ia sangat sukar untuk bermain 63, 70 perlawanan yang mereka mainkan pada musim lepas.”

“Akan ada penggiliran kerana nanti akan ada Piala Dunia di antaranya dan beberapa pemain memerlukan rehat,” tambah Luis Garcia lagi.

 

Sumber