Pengurus Sepanyol, Luis Enrique mengumumkan secara rasmi bahawa dia kini memulakan satu lagi kerjaya baharu iaitu streamer selain daripada menjadi ketua jurulatih pasukan Sepanyol.

Luis Enrique muncul pertama kali sebagai streamer dalam siaran strim beliau semalam dan menyatakan bahawa dia masih kekok. Ditambah dengan peralatan yang dia gunakan agak teruk atau disebut kategori ‘kentang’.

Luis Enrique jadi streamer demi peminat

Dia juga berseloroh bahawa, wajahnya juga tidak cukup ‘jambu’ untuk menjadi seorang streamer.

“Terus setia bersama saya, saya ada banyak perkara untuk diperbaiki berkaitan dengan perkara penstriman ini.”

“Saya tahu pencahayaan ini tidak cukup bagus. Mikrofon yang saya gunakan ini adalah divisyen ketiga [kalau dalam bola sepak].”

“Dan wajah saya…. apa benda ni.”

Idea ini wujud selepas Enrique mencari jalan untuk terus berkomunikasi dengan para peminat La Roja sepanjang Piala Dunia 2022. Oleh itu, Enrique akan berkomunikasi terus dari hati dan tiada tapisan oleh media.

Enrique berkata: “Pengumuman kepada semua streamer di sana! Saya datang kepada kamu! Saya mahu mengumumkan bahawa saya akan membuat penstriman langsung dari Qatar, sepanjang kita di sana.”

“Kamu akan mendengar pandangan yang tidak ada tapisan daripada pasukan kebangsaan Sepanyol, mendengar sendiri daripada saya, staf sata dan saya mahu membina hubungan yang lebih langsung dengan para penyokong.”

Sepanyol kini dalam rangka persiapan akhir sebelum sepak mula Piala Dunia yang akan berlangsung beberapa hari sahaja lagi. La Roja diletakkan dalam kumpulan E bersama dengan Jerman, Jepun dan Costa Rica.

Di atas kertas, Sepanyol dilihat tiada masalah untuk mara ke pusingan kalah mati bersama sama dengan Jerman. Namun Sepanyol pastinya tetap waspada kualiti Jepun dan Costa Rica yang boleh membuat kejutan ke atas pasukan besar.

Sepanyol antara pasukan yang dianggap berpotensi besar dalam Piala Dunia 2022 kali ini.

Sepanyol pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak sekali dalam sejarah bola sepak mereka.

Luis Enrique pastinya sudah sedia mahu mengulangi semula pencapaian luar biasa tersebut.