Pengendali dari Sepanyol, Luis De La Fuente menjadi calon terbaharu pilihan Persatuan Bola Sepak Emiriyah Arab Bersatu (UAE FA) untuk membimbing pasukan kebangsaan bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan datang.

De La Fuente cukup dikenali di eropah kerana beliau pernah membimbing skuad kebangsaan Sepanyol bawah 21 tahun (B-21) sehingga menjuarai Kejohanan Eropah B-21 menewaskan Jerman di perlawanan akhir pada tahun lepas.

Beliau juga turut membantu skuad bawah 19 tahun (B-19) Sepanyol menjadi juara dalam kejohanan yang sama pada tahun 2015.

Difahamkan UAE FA telah menyenarai pendek 4 calon jurulatih dan semuanya dari eropah. Mereka dijangka mengumumkan nama jurulatih baharu pada minggu depan bagi menggantikan tempat Ivan Jovanovic yang telah dipecat pada bulan Disember lepas.

De La Fuente cukup berminat untuk mengendalikan skuad kebangsaan UAE dan telah pun menonton semua perlawanan yang melibatkan negara itu dan saingan liga UAE Pro.

Sebelum ini, beberapa nama besar telah dikaitkan dengan jawatan panas tersebut iaitu Luis Felipe Scolari, Zlatko Dalic, Cosmin Olariu dan Zoran Mamic namun mereka semua telah menolak tawaran daripada UAE FA.

Naib Presiden UAE FA dan juga Ketua Jawatankuasa skuad kebangsaan, Yousef Al Sahlawi menjelaskan pihaknya tidak berminat untuk mengambil jurulatih tempatan sekaligus mengetepikan nama Mahdi Ali dan Abdulaziz Al Anbari.

el-jarrero-luis-de-la-fuente-dirigira-la-seleccion-espanola-sub-21
Aksi De La Fuente ketika membimbing Sepanyol.

Jika De La Fuente dipilih sebagai jurulatih UAE, beliau berpeluang melakukan penampilan pertama dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada bulan November nanti.

Dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, UAE berada di kedudukan keempat kumpulan G dengan 6 mata selepas mengharungi 4 perlawanan.

Prestasi mereka ketika dibawah bimbingan Van Marwijk tidak begitu memuaskan apabila tewas kepada dua pasukan Asean, Vietnam dan Thailand.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak UAE yang dilaporkan sebelum ini.

Belum Sempat Bertemu Malaysia, UAE Pecat Jurulatih Buat Kali Kedua

Prestasi Buruk Tewas 4 Dari 5 Perlawanan Terakhir, UAE Pecat Ketua Jurulatih Bert Van Marwijk

Bekas Pengendali Boca Junior Antara Tiga Calon Ketua Jurulatih Baharu UAE