Pengurus pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa kecewa pasukannya tewas kepada Petaling Jaya City FC dengan keputusan 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Larking semalam sekaligus gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut Lucho, beliau mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga musim ini namun nasib tidak menyebelahi pasukannya dan beliau terpaksa akur menerima kekalahan.

“Kami tidak mahu kalah. tetapi perkara seperti ini berlaku dalam bola sepak. Sudah tentu saya kecewa namun tidak mengapa kerana kita sudah bergelar juara. Saya lebih risaukan dengan corak permainan kami kerana saya tidak begitu gemar dengan cara kami beraksi malam ini (semalam).

“Kami harus meningkatkan permainan kami. Kini pemain perlu memberikan sepenuhnya fokus menjelang perlawanan terakhir Liga menentang Terengganu FC,” kata Luciano.

ketika ditanya mengenai ketiadaan Muricio di bahagian pertahanan, Lucho menegaskan JDT mempunyai pemain pertahanan lain yang boleh mengisi tempat pemain import itu dan barisan pertahanan yang diturunkan pada perlawanan semalam sepatutnya tidak dipersalahkan.

Fadhli Shas
Sumber Gambar: JST

“Selepas perlawanan kita boleh bercakap mengenai apa saja. Mauricio sememangnya penting untuk kami namun ada pemain lain yang mampu untuk menampilkan aksi terbaik. Malam ini kami sebagai satu pasukan gagal untuk menjalankan tugas dengan baik dan seterusnya tewas. Saya terima keadaan ini dan kami tidak bernasib baik untuk mengekalkan rekod.

“Tapi saya tetap berbangga dengan pencapaian pemain kerana mereka berjaya mengesahkan kejuaraan Liga berbaki 4 perlawanan. Jadi kita perlu lupakan kekalahan ini dan bangkit pada perlawanan seterusnya,” tambahnya.

Jaringan tunggal Washington Brandao pada minit ke-64 sudah cukup untuk memastikan status PJ City FC dalam saingan Liga Super musim hadapan dan meranapkan impian JDT untuk menamatkan saingan Liga dengan rekod tanpa kalah.

Pada perlawanan terakhir, Johor Darul Ta’zim akan menerima kunjungan Terengganu FC manakala PJ City pula akan menjamu PKNP FC.