Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) mengumumkan mereka akan menyertai kejohanan Pesta Bola Merdeka 2023 yang bakal berlangsung di Malaysia pada bulan Oktober nanti.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, tiga negara dilaporkan akan mengambil bahagian dalam edisi kali ini.

Lubnan yang berada di ranking FIFA 100 dunia merupakan pasukan kedua mengesahkan penyertaan di Pesta Bola Merdeka selain India (ranking 106 dunia). Satu lagi negara bakal diketahui dalam masa terdekat.

Difahamkan dua negara yang mungkin akan menyertai kejohanan itu ialah China atau Syria.

Pesta Bola Merdeka bakal dijadikan sebagai medan persediaan untuk pasukan Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2024 di Qatar.

Kejohanan ini merupakan sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Ia telah bermula sejak tahun 1957 dan merupakan kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia.

Pesta Bola Merdeka 2023 dijangka akan diadakan di antara 9hb sehingga 17hb Oktober iaitu pada ketika kalendar perlawanan antarabangsa FIFA selepas tamatnya saingan Piala Malaysia 2023.

โ€œKita akan mengadakan kejohanan Pestabola Merdeka dan merancang ia akan dianjurkan pada Oktober,โ€ kata Setiausaha Agung Persatuian Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman.

Semasa 1950-an dan awal 1980-an, ia merupakan satu kejohanan berprestij di kalangan negara-negara Asia kerana para peserta menghantar pemain skuad utama mereka.

Kali terakhir kejohanan ini dilangsungkan ialah pada 2013 yang mana skuad B-23 Tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya muncul juara dengan menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Rozaimi Abdul Rahman dan Junior Eldstal.