Selepas pengumuman secara rasmi mengenai skuad projek FAM-MSN beberapa hari yang lalu, VOCKETFC berjaya mendapatkan komen dari Lim Teong Kim berkenaan perkara tersebut yang mungkin mampu membuka satu perspektif dikalangan pembaca semua.

“Itu adalah satu keputusan yang paling tidak masuk akal dibuat oleh FAM berkaitan pembangunan bakat muda.”

“Pemain berusia 18 tahun dan beraksi menentang pemain profesional, apa pendedahan atau pengalaman yang boleh diperolehi oleh mereka ini sebenarnya?”

Ini adalah komen pertama yang keluar dari mulut Lim Teong Kim apabila diajukan soalan berkenaan penyertaan skuad projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier 2021 nanti.

Menurut beliau lagi, bukan semua pemain-pemain mampu berada ditahap yang baik ketika ini dimana mereka memerlukan platform yang sesuai dengan perkembangan permainan.

“Mereka memerlukan masa dan perlu bermain dalam sebuah liga yang bersesuaian dengan tahap semasa mereka dan bukannya Liga Premier. Itu membunuh!”

“Seperti yang banyak kali saya katakan, mereka tidak faham apa maksud pembangunan remaja sebenarnya.”

Adakah skuad ini sepatutnya lebih baik beraksi dalam aksi liga B19 atau B21 berbanding Liga Premier?

Menjawab soalan diatas, Lim Teong Kim bersetuju bahawa pemain-pemain itu sepatutnya beraksi dalam saingan liga yang lebih rendah seperti B19 atau B21.

“Ya, sudah pastinya lebih bagus untuk mereka bermain dalam saingan B19/B21. Bukan satu pilihan yang ideal bagi liga B21 tetapi sudah tiada lagi platform liga dari FAM yang ada untuk mereka turun beraksi.”

“Tapi, pastinya bukan Liga Premier.”

Menurut Lim Teong Kim lagi, beliau percaya semua orang tahu bahawa pemain-pemain yang terbaik sudah diambil oleh pasukan seperti Selangor dan JDT dan disini timbul satu persoalan;

“Jadi, boleh anda bayangkan pemain kualiti bagaimanakah yang tinggal? Kenapa diletakkan ‘pressure’ yang tidak diperlukan keatas pemain-pemain ini?”

“Biarkan mereka membesar dan berkembang mengikut masa sendiri. Anda tidak akan dapat 11 orang Luqman atau 11 orang Umar dalam satu pasukan.”

“Ada pemain yang ‘very good‘, ada yang ‘good‘ dan ada yang memerlukan masa dalam pasukan. Inilah yang dikatakan pembangunan remaja sebenarnya.”

Beliau juga turut mengajak untuk kita melihat kembali negeri mana yang melakukan pembangunan pemain remaja di Malaysia. Pada pandangan beliau, ketika ini hanya JDT sebagai sebuah kelab yang memiliki pembangunan remaja dan majoriti pasukan yang lain tiada.

“Pembangunan pemain remaja ini bermaksud bermula dari umur 6 tahun sehingga 19 tahun. Ini adalah program lengkap dimana sesetengah kelab di eropah memiliki skuad B21 dalam program ini.”

“Jadi beritahu saya siapa yang ada program seperti ini di Malaysia?”

Lim Teong Kim yang kini berada di Jerman tahu bahawa ramai penyokong bola sepak Malaysia mahu menyaksikan pasukan kebangsaan di Piala Dunia satu hari nanti, tetapi selagi struktur tidak betul ia akan menjadi cabaran yang hebat kearah itu.

Sebelum mengakhiri perbualan, Lim Teong Kim juga menjelaskan satu perspektif yang beliau amati mengenai pemain bola sepak Malaysia.

“Masalah pemain bola sepak Malaysia ini adalah ‘not calm and compose‘ apabila dibawah tekanan. Jadi, bagaimana untuk kita asah mereka untuk jadi ‘calm and compose‘?

“Sudah pasti bukan dengan bermain ‘one touch football’ dan beraksi dalam saingan Liga Premier!”

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kamiĀ  sediakan untuk anda.

Team FAM-MSN: Yusri Che Lah Dilantik Ketua Jurulatih, 30 Pemain Perintis Beraksi Dalam Liga Premier 2021

Norshahrul Idlan Talaha Akan Kembali Ke Liga Malaysia 2021 Bersama Pasukan Sarawak United

Koleksi Jersi Skuad Kebangsaan 8 Buah Negara Di Asia Yang Menggunakan Jenama Nike