Pemain legenda Jerman, Lothar Matthaus percaya Bayern Munich melakukan kesilapan kerana mendapatkan Sadio Mane berbanding Romelu Lukaku.

Lothar Matthaus menganggap Bayern membeli Sadio Mane untuk menggantikan Robert Lewandowski yang mahu berpindah.

Oleh sebab itu beliau percaya, Bayern seharusnya mendapatkan pemain flop Chelsea, Romelu Lukaku untuk mengisi tempat Lewandowski.

Lewandowski dilaporkan mahu menyertai Barcelona. Jika tidak ke Barca pun, pemain itu sudah menyatakan secara terbuka bahawa dia akan terkejut jika Bayern tidak menjualnya.

Bayern Munich telah mencapai persetujuan dengan Liverpool untuk perpindahan Sadio Mane. Penyerang kebangsaan Senegal itu akan menandatangani kontrak selama tiga tahun.

Bayern Munich dijangka akan mengumumkan secara rasmi Sadio Mane sebagai pemain baharu mereka pada Selasa ini.

Walaupun peminat Bayern rata rata sangat teruja menunggu pengumuman rasmi kehadiran Sadio Mane, namun legenda kelab mereka, Lothar Matthaus pula tidak teruja.

Ini kerana dia merasakan bahawa Romelu Lukaku lebih sesuai menggantikan Lewandowski.

Musim lalu, penyerang kebangsaan Belgium itu hanya mampu menjaringkan 15 gol daripada 44 penampilan dalam semua pertandingan.

Walaupun prestasi yang mengecewakan, Matthaus masih percaya Lukaku adalah pengganti yang paling sesuai untuk Lewandowski, kerana dia adalah penyerang tengah yang tipikal target man.

“Saya masih melihat Lukaku sebagai satu-satunya alternatif yang ideal untuk Lewandowski,” kata Matthaus kepada Sky Sports.

“Mungkin Nagelsmann mahu mencontohi Guardiola dengan tiga penyerang, tetapi tanpa penyerang tulen.”

Lukaku dalam proses untuk kembali semula ke Inter Milan. Pemain itu sudah bercakap dengan Tuchel tentang hasratnya itu.

Tuchel pula sedang berusaha mendapatkan beberapa pemain baharu. Dengan Ousmane Dembele dan Raheem Sterling menjadi sasaran.