Hugo Lloris membayangkan bahawa beliau tidak akan memakai lilitan pelangi selaku kapten pasukan kebangsaan Perancis, jika dia diberikan kuasa penuh untuk membuat pilihan.

Beliau juga masih was was untuk memakai logo One Love yang diletakkan pada jersi pasukan, juga berwarna pelangi. One Love satu kempen dimulakan di Belanda bagi memperjuangkan hak asasi manusia termasuk LGBTQ.

Manuel Neuer dan Harry Kane sudah menyatakan pendirian mereka akan memakai logo One Love di Qatar walaupun negara tersebut melarang sama sekali hubungan sejenis.

Hugo Lloris berpandangan sebaliknya. Dia masih belum membuat keputusan tentang perkara itu. Dan menyatakan dia lebih memilih untuk tidak memakai logo pelangi yang menyokong LGBTQ.

Hal ini kerana menurut Lloris, dia menghormati budaya dan undang undang di negara Qatar, sebagai seorang tetamu. Dia bersetuju untuk bersuara tentang hak asasi melibatkan isu penindasan buruh asing di Qatar sepanjang proses pembinaan stadium Piala Dunia.

Namun untuk isu berkaitan LGBT, Lloris menyatakan dia mahu menghormati pandangan Qatar tentang perkara itu walaupun dia ada pandangan berbeza dengan negara tersebut.

Peraturan FIFA jelas melarang mana mana pasukan menampal logo lain pada jersi mereka. Tetapi buat masa ini, FIFA masih belum bersuara tentang logo pelangi dan lilitan pelangi yang sudah dirancang untuk digunakan oleh beberapa pasukan.

Hugo Lloris ditanya tentang pendiriannya untuk memakai logo pelangi. Dia berkata, dia mendapat tahu bahawa Qatar menentang LGBT. Maka dia memilih untuk menghormati undang undang di negara tersebut.

Dia memberikan contoh, di mana di Perancis mereka juga mahu orang asing yang datang bertandang ke negara mereka untuk menghormati peraturan di negara tersebut.

Lloris berkata: “Sebelum kita memulakan apa-apa, kita masih memerlukan persetujuan FIFA, persetujuan persekutuan [Perancis],” kata Lloris.

“Sudah tentu, saya mempunyai pendapat peribadi saya mengenai topik itu. Dan ia agak hampir sama dengan presiden [persekutuan Perancis].”

Presiden persekutuan Perancis, Noël Le Graët, sebelum ini sudah memberikan pandangannya. Dia meminta kem Perancis hanya fokus kepada bola sepak dan mengelak daripada menyentuh isu sensitif yang lain di negara Qatar.

Ini termasuk, tidak menjadi orang yang lantang bersuara menentang undang undang di negara lain.

Lloris menambah: “Apabila kita berada di Perancis, apabila kita mengalu-alukan orang asing datang, dan kita sering meminta mereka mematuhi peraturan kita, menghormati budaya kita, dan saya akan melakukan perkara yang sama apabila saya pergi ke Qatar, secara ringkasnya,” kata Lloris.

“Saya boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan idea mereka, tetapi saya perlu menunjukkan rasa hormat kepada mereka.”

Kenyataan Lloris itu mendapat reaksi berbeza di kalangan peminat di Eropah. Ramai mereka turut kecewa dengan kenyataan Lloris. Namun peminat di Qatar rata rata terharu kerana Lloris ternyata memahami dan menghormati budaya mereka.

Perancis akan turun sebagai juara bertahan dalam Piala Dunia kali ini. Mereka juga digelar sebagai salah satu pasukan pilihan untuk menjulang Piala Dunia 2022.

Selain daripada Lloris, Perancis diperkuat oleh nama nama besar lain seperti Kylian Mbappe, Karim Benzema dan juga Antoine Griezmann.