Pasukan Kelantan dikhabarkan semakin hampir untuk menandatangani bekas pemain pertahanan import Kuantan FA, Ljubo Baranin secara pinjaman bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Baranin, yang terkenal dengan kemampuan membuat lontaran ke dalam sehingga jarak 40 meter kini beraksi dalam saingan Liga M3 bersama pasukan Batu Dua FC. Sebelumnya, pemain berusia 32 tahun ini pernah mewakili Kuantan FA selama dua musim iaitu pada 2015 hingga 2017.

Ljubo Baranin
Sumber Gambar: Utusan

Dalam saingan Liga Perdana musim ini, Kelantan mempunyai rekod pertahanan yang agak buruk dimana mereka telah dibolosi sebanyak 25 gol setakat 13 perlawanan Liga. Catatan ini menyebabkan skuad bimbingan Yusri Che Lah itu kini menduduki tangga tercorot dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak perkara sama berulang sehingga ke penghujung saingan Liga Perdana.

Selain mahu meminjam Ljubo Baranin, The Red Warriors dikhabarkan mahu membawa masuk seorang lagi pemain import Batu Dua FC iaitu Seydi L’imam dan enam lagi pemain tempatan pasukan itu.

Sejak jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2019 dibuka pada 2 Mei lalu, Batu Dua telah kehilangan beberapa pemain mereka antaranya penjaga gol, Zamir Selamat yang menyertai pasukan Pulau Pinang.