Pemain yang terkenal dengan kebolehan membuat lontaran ke dalam yang mampu mencapai jarak jauh, Ljuba Baranin meninggalkan kelab yang beraksi dalam saingan Liga M3, Batu Dua FC berkuatkuasa serta-merta.

Perkara ini disahkan oleh Baranin sendiri melalui satu posting di laman media sosial Facebook beliau. Pada masa yang sama, bekas pemain Kuantan FA ini membidas pengurusan Batu Dua yang disifatkan sebagai kejam dan tidak profesional.

Facebook Baranin
Sumber Gambar: Facebook Baranin

Menurut Baranin, pengurusan Batu Dua tidak menghormati beliau sebagai pemain import pasukan. Beliau turut menyifatkan pemilik kelab yang sinonim dengan panggilan Tuan Muda juga berpura-pura mempunyai dana namun hakikatnya pemilik tersebut tidak mempunyai wang apabila sering memberi cek palsu kepadanya.

Setelah Baranin memuat naik status tersebut, pihak Batu Dua memberikan reaksi dimana mereka menafikan segala tuduhan yang dilontarkan oleh Ljuba.

Pihak pengurusan Batu Dua menegaskan mereka sudah membayar gaji Baranin serta memberikan surat pelepasan kepadanya. Pemilik kelab, Tuan Muda juga sudah memberikan yang terbaik untuk Ljuba dimana mereka menjaga kepentingan pemain itu.

Setakat ini, masih belum jelas mengenai siapa yang patut dipersalahkan dalam kemelut yang terjadi antara Ljuba Baranin dan juga pengurusan Batu Dua FC.

Bagi saingan Liga M3 musim ini, Batu Dua dikelola oleh bekas penaja Terengganu City FC, Tulangis Group.