Liverpool berjaya menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 apabila berjaya menewaskan seteru ketat, Everton 2-0 di Anfield, sebentar tadi.

Ia juga sekali gus merupakan kemenangan pertama dicatatkan oleh skuad kendalian Jurgen Klopp itu pada tahun 2023 dalam kempen liga selepas sekadar mencatatkan tiga kekalahan dan satu keputusan seri sebelum ini.

Malah, gol yang masing-masing disumbangkan oleh Mohamed Salah dan Cody Gakpo pada setiap babak itu telah mengukirkan senyuman di bibir para penyokong Liverpool selepas tiga perlawanan berturut-turut tidak dapat meraikan jaringan ketika aksi EPL.

Beraksi di laman sendiri, barisan pemain Liverpool dilihat lebih selesa untuk mengawal permainan dan mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol sepanjang perlawanan.

Darwin Nunez mendapat peluang pada minit ke-16 untuk mendapatkan jaringan tetapi tandukannya dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Gakpo tersasar.

Everton yang sesekali mengancam kubu Liverpool juga terlepas peluang terbaik ketika permainan memasuki minit ke-36, namun tandukan James Tarkowski susulan sepakan penjuru sekadar singgah di tiang gol.

Tidak pun sampai seminit selepas peluang tersebut, Liverpool melakukan serangan balas pantas bagi membolehkan Nunez melakukan larian pantas ke hadapan lalu melakukan hantaran buat Salah.

Salah tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola berikutan kesilapan Jordan Pickford yang keluar daripada posisinya untu meletakkan Liverpool dihadapan.

Gol itu juga menyaksikan Salah terlibat dengan penghasilan 100 gol buat Liverpool di Anfield dengan 71 daripadanya adalah gol daripada beliau manakala 29 lagi merupakan bantuan jaringan.

Jaringan kedua tuan rumah terhasil pada minit ke-49 apabila Gakpo mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang yang cukup berkualiti daripada Trent Alexander-Arnold bagi mengukuhkan lagi kedudukan sekali gus merupakan jaringan sulung beliau sejak bersama Liverpool.

Liverpool selepas itu mendapat beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan, bagaimanapun kekentalan Pickford dan kelemahan penyudah jentera hadapan menyaksikan kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan.

Dengan kemenangan pada derbi Merseyside itu, Liverpool melonjak satu anak tangga untuk menduduki tangga kesembilan dengan mengumpul 32 mata manakala Everton terus terdampar di kedudukan ke-18.