Liverpool berhempas pulas dalam aksi mereka menentang Everton di Anfield.

Aksi Derbi Merseyside menjadi satu lagi aksi tumpuan minggu ini selain aksi Man United dan Arsenal semalam.

Liverpool sedar, hanya kemenangan yang mereka harus cipta untuk terus menghimpit Manchester City yang menang besar 5-1 ke atas Watford dalam aksi sehari lebih awal semalam.

Everton tampil dengan taktikal sangat defensif. Mereka sentiasa dengan 9 atau 10 pemain di belakang bola.

Liverpool kesukaran sepanjang separuh masa pertama.

Pada minit ke-25, pemain muda paling menyerlah, yang juga merupakan pemain terbaik Everton di serangan, Anthony Gordon dilayangkan kad kuning kerana simulasi.

Andy Robertson menghantar bola kepada Jota, tetapi voli pemain antarabangsa Portugal itu lemah.

Everton jelas sekali cuba menyakitkan Liverpool dengan serangan balas. Pada minit ke-32, serangan balas mereka agak baik namun Doucoure menyepak liar.

Separuh masa pertama kedua dua pasukan tanpa sebarang percubaan tepat dengan Liverpool menguasai 88% perlawanan. Betapa defensifnya Everton.

Separuh masa kedua Liverpool terus bermasalah dengan usaha untuk memecahkan blok rendah Everton.

Klopp memasukkan Origi dan Luis Diaz. Liverpool akhirnya mencetuskan ancaman yang benar benar bahaya. Berpunca daripada gerakan di sebelah kanan, Mohamed Salah menghantar silang ke Andy Robertson yang terus merembat masuk.

Itu adalah percubaan tepat pertama Liverpool dalam perlawanan ini.

Tidak lama selepas gol itu Luis Diaz cuba untuk melakukan percubaan dari sebelah kiri namun dihadang.

Pada minit ke-80, Everton melakukan ancaman menerusi bola sepakan percuma. Namun Alisson berjaya memastikan gawangnya terus kebal.

3 minit kemudian, Trent Alexander Arnold mencetuskan hantaran bahaya kepada Mo Salah yang kemudian melorongkan bola ke kawasan gol. Thiago meluru dari belakang dan merembat deras. Malangnya bola dihadang.

Berpunca daripada sepakan penjuru itu Liverpool memenangi bola kedua dan Diaz cuba menggunting bola tersebut yang terus sampai ke kepala Origi untuk gol kedua.

Tiada lagi tambahan gol selepas itu. Liverpool memastikan kemenangan 2-0 milik mereka untuk mengutip 3 mata berharga. Mengekalkan jarak 1 mata daripada Manchester City.

Everton pula berada di zon penyingkiran. Frank Lampard masih ada 6 perlawanan lagi untuk menyelamatkan pasukannya daripada terhumban ke Liga Kejuaraan.