Liverpool telah membuat laporan kepada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berikutan pengurangan jumlah kuota pemberian tiket oleh Real Madrid pada aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23, Mac tahun hadapan.

Pada mulanya mereka telah dijanjikan dengan peruntukan sebanyak 3,000 keping tiket untuk pasukan pelawat, bagaimanapun kelab gergasi Sepanyol itu kemudiannya mengurangkan kepada hanya 1,800 termasuk empat ruang untuk kerusi roda.

Difahamkan, perubahan itu terpaksa dilakukan oleh Real Madrid kerana Santiago Bernabeu yang berkapasati 60,000 penyokong kini sedang dalam proses pengubahsuaian.

Perkembangan terkini itu sudah pastinya mengecewakan juara enam kali tersebut kerana sudah pasti The Reds mengharapkan sokongan padu lebih ramai penyokong dalam usaha mereka untuk ‘menebus’ kehampaan tumpas pada perlawanan akhir musim lalu.

“Peruntukan tiket ini jauh lebih rendah daripada apa yang dijangkakan untuk perlawanan ini,” ujar Liverpool dalam kenyataan yang dikeluarkan kelab tersebut.

“LFC [merujuk kepada Liverpool Football Club] sentiasa komited untuk mempunyai seramai mungkin penyokong bagi perlawanan Eropah di tempat lawan dan terus mengembangkan sistem dan prosesnya bagi mengisi peruntukan di setiap perlawanan tempat lawan.”

“Kelab memahami sepenuhnya kesan daripada keputusan awal dibuat Real Madrid ini terhadap penyokong dan cabaran dalam mengatur perjalanan mereka untuk perlawanan tersebut.”

“Wakil daripada LFC akan berhubung terus dengan ‘Supporters trust and the Liverpool Disabled Supporters Association’ dan akan terus meneroka semua pilihan untuk menambah pemberian tiket, terutamanya bagi penyokong dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU).”

Liverpool dan Real Madrid yang merupakan finalis edisi lalu terpaksa bertemu sesama sendiri dengan lebih awal selepas kelab gergasi England itu menamatkan saingan kumpulan A di kedudukan kedua.

 

Sumber