Beberapa minggu lalu, Lisandro Martinez dilaporkan lebih memilih Arsenal berbanding Manchester United walaupun kelab itu dikendalikan bekas bosnya, Erik Ten Hag.

Namun semalam, wartawan terkemuka Belanda, Mike Verweij mendakwa bahawa pemain itu kini sedia menyertai Manchester United berbanding dengan Arsenal.

Manchester United dikatakan telah mencapai persetujuan pada dasarnya untuk menandatangani Lisandro Martínez dari Ajax. Erik Ten Hag menjadi faktor penting dalam menarik pemain itu datang ke Old Trafford.

Kedua-dua outlet berita, The Telegraph dan pakar perpindahan Itali, Fabrizio Romano melaporkan pada hari Rabu bahawa terdapat satu kejayaan besar dalam rundingan antara kedua-dua kelab.

Fabrizio Romano menyifatkan perpindahan itu akan berlaku, dengan Ajax bersedia menerima €50 juta daripada Man United. Pengumuman dijangka dalam masa 24 hingga 48 jam akan datang.

Menandatangani bek tengah berusia 24 tahun itu menjadi keutamaan bagi pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag.

Pemain tersebut ditandatangani oleh Ajax dengan hanya €7 juta daripada Defensa pada 2019, Martínez telah menjadi bahagian penting dalam pertahanan Ajax sejak empat tahun lalu dan telah menjaringkan enam gol dan enam assist dalam 118 perlawanan di semua pertandingan.

Jika rundingan ini benar benar menjadi kenyataan seperti dilaporkan, Lisandro Martínez akan menjadi bek tengah ketiga termahal dalam sejarah kelab —hanya Harry Maguire dan Rio Ferdinand yang lebih tinggi.

Gaya permainan Martinez yang tenang dan memiliki keupayaan melakukan hantaran bahaya dari bawah merupakan aset yang penting yang benar benar dimahukan Erik Ten Hag.