Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dilaporkan semakin hampir untuk menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super India, Odisha FC.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana urusan perpindahan Liridon dikhabarkan sudah selesai dan beliau akan bergelar pemain baharu Odisha dalam masa terdekat.

Liridon sebelum ini beraksi bersama kelab Australia, Newcastle Jets secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama seorang lagi pemain iaitu Syahrian Abimanyu.

Bulan lalu, tempoh pinjaman Liridon dan Syahrian telah tamat dan kedua-dua pemain kembali ke pangkuan JDT dimana Syahrian baru-baru ini membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Super.

Dalam saingan Liga Super India musim lalu, Odisha menamatkan saingan di tangga tercorot dimana mereka hanya mencatat 12 mata daripada 20 perlawanan yang dihadapi hasil dari dua kemenangan, enam seri dan 12 kekalahan.

Bagi saingan musim baharu, Odisha dibimbing oleh ketua jurulatih dari Sepanyol iaitu Kiko Ramirez dan setakat ini telah menandatangani empat pemain import juga dari Sepanyol iaitu Victor Mongil, Javi Hernandez, Hector Rodas dan Aridai Cabrera.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

MFL Kemukakan Permohonan Kemasukan Penyokong Ke Stadium

JDT Nafi Buat Tawaran Rasmi Kepada Falcao

Subkhiddin Salleh: “Pemain Jersi Biru Nombor 7 Perlu Dihukum Dengan Kad Merah”