Berita baik bagi peminat bola sepak tanah air apabila pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Liridon Krasniqi kini sah menjadi warnagenara Malaysia sekaligus membolehkan beliau beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi badan itu dimana Liridon telah mengangkat sumpah sebagai warnagenara dan telah memperoleh kad pengenalan diri MyKad.

“FAM dengan rasa berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Liridon Krasniqi telah sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, sebentar tadi.

“Dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari 2020 kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Liridon Krasniqi
Sumber Gambar: FAM

Tambah Stuart, pihaknya akan segera menghantar dokumen yang diperlukan kepada FIFA bagi mendapat kebenaran badan induk bola sepak dunia itu untuk Liridon beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

“Diharap kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti akan dapat memperkasakan lagi pasukan,” ujar Stuart.

Baca artikel lain mengenai Liridon Krasniqi di sini:

Liridon Krasniqi Semakin Hampir Dapat Pasport Malaysia

Liridon Krasniqi Perkuatkan Jentera Tengah Harimau Selatan Musim Depan

FIFA Bakal Umumkan Keputusan Proses Naturalisasi Liridon Krasniqi Dan Guilherme De Paula