Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi memberi bayangan beliau akan kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia selepas berkelana ke Australia, India dan Thailand.

Liridon tidak tersenarai dalam skuad kelab Thailand, Khon Kaen United bagi menghadapi baki saingan musim 2022/2023 dan ini bermakna beliau telah dilepaskan oleh pasukan.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Liridon mengesahkan beliau telah berpisah dengan Khon Kaen dimana beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan itu dan berterima kasih kepada peminat serta rakan sepasukan.

Selain itu, Liridon turut memberikan bayangan yang menunjukkan saingan Liga Malaysia bakal menjadi destinasi seterusnya bagi pemain naturalisasi itu.

Liridon Krasniqi
Liridon Krasniqi

“Selamat pagi Malaysia. Destinasi seterusnya untuk musim 2023?,” tulisnya.

Pemain berusia 31 tahun itu masih berstatus pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan melihat kepada barisan pemain sedia ada dalam skuad Harimau Selatan itu, besar kemungkinan beliau bakal dipinjamkan atau dilepaskan ke pasukan lain.

Sebelum beraksi bersama JDT, Liridon Krasniqi pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman ketika dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe serta Melaka United.

Ketika menyarung jersi kelab Liga India iaitu Odisha, beliau diiktiraf sebagai ‘Raja Gelecek’ Liga Super India (ISL) untuk musim 2021/22.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL, Liridon memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu.

Selain itu, beliau turut digelar sebagai ‘The General’ di kalangan pengikut ISL dimana beliau membuat 16 penampilan secara keseluruhan untuk kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar sepanjang musim.