Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi meluahkan rasa gembira apabila menjaringkan gol pertama bersama skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura di Stadium Nasional pada Sabtu lalu.

Pemain tengah kelab liga India, Odisha itu menjaringkan gol pada separuh masa kedua namun jaringan beliau tidak dapat membantu Malaysia untuk meraih kemenangan sebaliknya tewas dengan keputusan 2-1.

“Terima kasih kepada pasukan dan staf yang membantu saya dalam usaha menjaringkan gol pertama saya bersama pasukan kebangsaan. Bukanlah keputusan yang kita harapkan, tetapi kita terus melangkah ke hadapan. Banyak lagi yang akan datang,” kata Liridon dipetik daripada laman media sosial Instagram miliknya.

Liridon Krasniqi sebelum ini mendapat kecaman hebat daripada peminat bola sepak tanah air selepas mempamerkan prestasi buruk pada perlawanan persahabatan menentang Filipina yang menyaksikan Malaysia menang dengan keputusan 2-0.

Pemain berusia 29 tahun itu dimasukkan pada separuh masa kedua dengan seorang lagi pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh namun gagal memberi sebarang impak terhadap barisan serangan pasukan negara.

Liridon dan Sumareh dilihat kerap menganggu momentum pasukan khususnya ketika melancarkan gerakan serangan sekaligus menyukarkan pasukan negara untuk menambah jaringan.

Malaysia akan menutup perlawanan persahabatan di Singapura dengan menentang kelab setempat, Albirex Nigata Singapore dan pada perlawanan ini, ketua jurulatih, Kim Pan-gon dijangka membuat pertukaran dan memberi peluang kepada pemain yang belum beraksi pada aksi menentang Filipina dan Singapura.

Pan-gon membuat penilaian berdasarkan tiga perlawanan yang dihadapi di Singapura untuk memilih pemain terbaik bagi membawa cabaran negara pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Dion Cools: Ini Persembahan Terburuk Saya Bersama Skuad Kebangsaan

Khuzaimi Piee: Tunjuk Ajar Pemain Senior Banyak Membantu Saya

Perlawanan Persahabatan: Ikhsan Fandi Hampakan Skuad Negara